20,000 hadiri himpunan Black 505 Melaka
BUKIT KATIL, 25 MEI: Kira-kira 20,000 hadir ke himpunan ‘Black 505, Suara Rakyat Suara Keramat’ di Dataran Kebangkitan Rakyat, malam tadi.
Meskipun kebanyakan hadirin terpaksa meredah kesesakan lalu lintas, namun tidak menghalang puluhan ribu rakyat Melaka yang majoritinya anak-anak muda berhimpun keputusan pilihan raya umum ke-13.
Lokasi program pada awalnya dirancang diadakan pejabat KEADILAN Melaka di Taman Bukit Piatu, namun dipindahkan ke Dataran Kebangkitan Rakyat dekat Bukit Katil.
Puluhan warung makanan dan busana Pakatan Rakyat mengelilingi tapak ceramah, menjadikan acara Black 505 di Melaka seperti ekspo perniagaan.
Suasana hingar-bingar dengan tiupan vuvuzela dan wisel sebaik pengacara majlis mengumumkan program bermula kira-kira jam 8.30 malam.
Pelbagai gelagat dan aksi hadirin dirakamkan. Ada yang membawa keluarga sambil menikmati sup di warung-warung pasang siap.
Ada juga yang mejadikan himpunan malam tadi pertemuan rakan-rakan aktivis dan petugas parti merencana program Pakatan Rakyat di Melaka.
Sebahagian anak-anak muda menjadikan himpunan ‘Black 505’ sebagai kempen anti-perkauman melalui mesej tertulis di plakad sambil mengibar bendera Pakatan Rakyat,
Keadaan menjadi gamat sebaik pengacara majlis menumumkan ketibaan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain beliau, antara pemimpin yang menyampaikan ucapan ialah Pengerusi KEADILAN Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pesuruhjaya Pas Melaka, Adly Zahari dan Adun Bukit Baru, Dr Khalid Kassim.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=52506