23,000 kakitangan Felda turut bantah penyenaraian

Penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGV) di bursa saham menjadi isu kontroversi apabila anak syarikat Felda yang kekurangan modal itu ingin mengambil alih Felda dan Felda Holding yang berdaya maju serta memperoleh hasil RM2 bilion setahun.

Pengambil-alihan yang tidak masuk akal ini menaikkan kemarahan peneroka yang menyifatkan tindakan kerajaan BN ini telah menggadai masa depan peneroka.

Menurut Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman, penyenaraian tersebut yang akan menyebabkan Felda mengalami defisit RM1.5 bilion, bukan sahaja ditentang peneroka, malah turut mendapat bantahan 23,000 kakitangan yang bekerja dengan Felda.

Berikut disiarkan temubual dengan Mazlan yang disiar dalam Suara Keadilan edisi 52, berhubung isu pengambilalihan Felda serta proses penyenaraian saham yang menggugat peneroka Felda sejak setahun lalu.

SK: Felda adalah entiti perniagaan yang berdaya maju dalam keadaan sedia ada, jadi mengapakah entiti tersebut perlu disenaraikan di bursa saham?

Mazlan: Penyenaraian ini bukan sepertimana alasan yang diberikan oleh PM Najib Razak, Ahmad Maslan mahu pun pengerusi Felda Isa Samad, kononnya ia akan mengangkat potensi Felda di persada antarabangsa. Sedangkan Felda ketika ini telah pun berkembang di peringkat antarabangsa melalui eksport komoditi kelapa sawit dan getah yang berjumlah berbilion ringgit setahun biarpun tidak disenaraikan. Saya lebih cenderung mengatakan penyenaraian ini dilakukan kerana memenuhi agenda tertentu pemimpin BN untuk menggunakan wang Felda bagi kepentingan mereka.

SK: Peneroka telah berjaya menghalang Mesyuarat Agung Khas (EGM) KPF pada Januari lalu, mesyuarat berikutnya dikatakan akan dilakukan pada Februari.  Apakah tindakan ANAK seterusnya?

Mazlan: Kita dapat maklumat mereka akan adakan EGM pada 22 Februari . Dijangkakan PM akan merasmikan mesyuarat itu. Kita tunggu notis EGM sebelum mengambil tindakan menghalangnya daripada diteruskan.

SK: Bagaimanakah operasi penyenaraian itu dilakukan?
Mazlan: Ada beberapa peringkat. Pertama, mereka akan pastikan perjanjian pajakan tanah ke atas Felda Plantation seluas 360,000 hektar berjaya dilakukan. Kedua, mereka akan bawa Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang memiliki 220,000 pemegang saham bernilai RM1.46 bilion masuk ke dalam FGV.  Mereka akan lupuskan ekuiti dalam Felda Holding untuk diserap ke dalam FGV.

SK: Wujudkah cara lain untuk menghalang  penyenaraian

Mazlan: Terdapat satu cara. Berdasarkan undang-undang kecil KPF, fasal 29 (1), sekiranya 1/5 atau sekurang-kurangnya 100 orang pemegang saham memohon untuk mengadakan EGM maka boleh diadakan satu EGM untuk menolak KPF diserap ke dalam FGV. Oleh itu kita sedang mengumpulkan peneroka untuk memohon EGM ini dengan tujuan menentang penyenaraian. Pihak kita akan membuat permohonan dalam tempoh terdekat.

SK: ANAK telah bertemu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam menghalang penyenaraian, apakah maklum balas SKM?

Mazlan: Kita telah dua kali bertemu SKM dan jawapan dari mereka mendukacitakan. Jawapan yang diberi masih dalam siasatan. Saya bimbang SKM dijadikan alat. Kita meminta penjelasan status Isa Samad yang menjadi pengerusi KPF. PM pula melantik beliau menjadi pengerusi sedangkan ia melanggar akta koperasi. Dalam isu ini kita juga telah menemui pihak Angkasa namun sehingga kini tiada jawapan.

SK: Berbalik kepada isu pajakan tanah Felda Plantation. Bukankah tanah simpanan Felda itu asalnya untuk peneroka, sama ada peneroka baru atau generasi kedua?

Mazlan: Tanah tersebut dibangunkan dengan duit peneroka . Asalnya tanah itu akan diberi kepada peneroka baru. Tetapi dasar itu telah dibatalkan dan tanah tersebut dijadikan estet di bawah kendalian Felda Plantation. Felda Plantation mendapat hasil sebanyak hampir RM2 bilion setahun dari usaha perladangan .

Tiba-tiba tanah yang mendatangkan hasil lumayan dipajakkan kepada FGV untuk tempoh 99 tahun. Sewa pajakan hanya RM251 juta setahun  jauh lebih rendah daripada nilai pendapatan yang diperolehi Felda Holdings sebelumnya. Kononnya penyenaraian akan mendapat untung. Sebenarnya, FGV akan diberi 15 peratus keuntungan daripada harga semasa pasaran minyak sawit kira-kira RM2,900 setan. Itu pun jika harga pasaran setinggi itu, sekiranya tidak, bagaimana?

SK: Adakah pendapatan Felda akan terjejas
Mazlan: Sudah pasti. Pada ketika ini kos operasi Felda mencecah kira-kira RM2 bilion pada 2010. Selepas Felda diambil alih FGV maka pendapatannya hanya melalui dua sumber yang jumlahnya kira-kira RM508 juta. Felda dijangka akan mengalami defisit RM1.5 bilion setahun. Isu ini menimbulkan kontra di antara kerajaan dan pentadbiran Felda.

SK: Bermakna kewangan Felda akan tergugat selepas penyenaraian?

Mazlan: Bukan sahaja kewangan Felda malah peneroka juga akan tergugat. Apabila FGV disenaraikan maka mereka akan melupuskan ekuiti KPF untuk diserap masuk ke dalam FGV. Sekurang-kurangnya 10 anak syarikat KPF akan dilupuskan. Ambil contoh, salah satu anak syarikat yang berdaya maju iaitu Palm Industries, kilang kelapa sawit yang mana peneroka menghantar kelapa sawit ke sana untuk diproses.

Katakanlah kilang ini gagal beroperasi dengan baik di bawah pengurusan baru. Sekarang peneroka yang memproses kelapa sawit melalui Felda dan menghantar ke kilang itu mendapat pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan. Bagaimanakah jika anak syarikat ini tidak beroperasi dengan baik? Inilah bahaya yang akan menanti
Felda dan para peneroka. Bukan sahaja tidak ada jaminan pendapatan meningkat, pendapatan sedia ada pun akan terjejas.

SK: FGV tidak mempunyai rekod cemerlang dalam kegiatan permodalan, mampukah syarikat ini menjana keuntungan?

Mazlan: Sukar . FGV telah didedahkan oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di Parlimen pernah mencatat kerugian RM500 juta dalam tempoh empat tahun dalam pelaburannya di luar negara. Semua pihak mempertikaikan tindakan kerajaan memberi kepercayaan kepada syarikat yang gagal untuk mengambil alih peranan Felda Plantation dalam menguruskan dan menjana kewangan Felda.

SK: Adakah proses penyenaraian ini akan mewujudkan gelombang penentangan ke atas kerajaan BN?

Mazlan: Saya yakin 23,000 kakitangan Felda tidak puas hati. Selepas diambil alih FGV, Felda akan menjadi boneka. Ladang-ladang yang mereka uruskan selama ini akan diuruskan oleh FGV. Itu belum lagi caruman yang dibuat oleh kakitangan KPF yang tidak menentu keadaaannya apabila pengambilalihan berlaku.Bagi generasi muda peneroka, mereka sedar proses yang dilakukan kerajaan BN sekarang ini merugikan. Mereka akan memilih kerajaan yang lebih baik dalam pilihanraya akan datang.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=26496

Posted by on Feb 13 2012. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google