73 peratus gelandangan Anjung Singgah dapat kerja

Sebanyak 73 peratus daripada 7,047 gelandangan yang menginap di Anjung Singgah sehingga Januari tahun ini berjaya mendapat pekerjaan, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata Anjung Singgah, yang ditubuhkan Yayasan Kebajikan Negara (YKN), membuka lima Anjung Singgah yang berfungsi sebagai pusat khidmat sosial bagi menangani masalah isu gelandangan.

Di samping itu, Dr Wan Azizah juga berkata seramai 2,315 orang telah berdaftar dengan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur sejak ia dibuka pada 2016.

YKN juga menyediakan perkhidmatan Anjung Kasih yang kini mempunyai 10 penginapan sementara bagi keluarga yang mengiringi pesakit yang mendapat rawatan di hospital, katanya.

“Sehingga Januari 2019, sejumlah 62,551 orang telah mendapat manfaat daripada penubuhan Anjung Kasih seluruh negara,” katanya pada Majlis Penyampaian Tajaan dan Tandatangan Memorandum Rakan Strategik YKN semalam, lapor Bernama.

Dr Wan Azizah berkata YKN kini dalam perancangan untuk menubuhkan pusat sehenti gabungan komponen sosial seperti Anjung Kasih, Anjung Singgah, Food Bank dan lain-lain yang bercirikan elemen kebajikan di tapak tanah kebajikan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Projek ini merupakan kesinambungan daripada projek kerjasama YKN Dialisis dengan UMS dan merupakan projek pertama diwujudkan di Malaysia, sesuai dengan keperluan masyarakat Sabah,” katanya.

Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) pula akan bekerjasama dengan YKN dalam penubuhan Anjung Kasih di Unisza dengan peruntukan pembangunan dikongsi bersama antara Unisza dan YKN, katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73319

Posted by on Apr 16 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE