Agong perkenan AG baharu selepas terima mengadap Anwar

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara selepas menerima mengadap Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim lewat malam tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Agong telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun daripada Istana Negara, Wan Ahmad Dahlan berkata Agong bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Anwar semalam dilaporkan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan kemelut pelantikan peguam negara.

Tokoh Reformasi itu memberi jaminan bahawa hak orang Melayu akan kekal terpelihara meskipun individu bukan beragama Islam dilantik bagi menyandang jawatan itu.

“Tugas saya sebagai orang awam dengan sedikit pengaruh adalah untuk membincangkan (dengan Raja-raja Melayu) dan menyakinkan baginda.

“Apa yang saya sampaikan kepada baginda adalah: Dalam tempoh 60 tahun, keluarga diraja bekerjasama dengan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Sekarang situasi sudah berubah. Tetapi Perlembagaan tidak berubah. Status Raja-raja Melayu tidak berubah. Hal (seperti pelantikan peguam negara) boleh dibincangkan difahami,” kata Anwar seperti dilapor The Malaysian Insight.

Selepas mendapatkan pengampunan daripada Agong, Anwar sudah mengadap tujuh sultan, termasuk Sultan Johor untuk kali kedua malam semalam.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71846

Posted by on Jun 5 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE