Amirudin berani buat keputusan tak popular

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mempunyai kekuatan sendiri dalam memimpin Selangor walaupun dahulu berdepan cabaran dibandingkan dengan mantan menteri besar Azmin Ali.

Exco Selangor selama dua penggal, Teng Chang Kim berkata demikian mengulas ulang tahun pertama Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai menteri besar, semalam.

“Masing-masing mempunyai kekuatan yang istimewa. Amirudin seorang pencetus idea yang kreatif sementara Azmin seorang perancang dan strategi-strategi yang teliti,” katanya.

Beliau yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana berkata kelebihan Amirudin adalah keberaniannya membuat keputusan tidak popular demi kebaikan negeri dan rakyat.

“Tidak ramai pemimpin yang mempunyai keberanian sedemikian. Beliau juga mempamerkan kecekapan dalam memastikan pelaksanaan keputusan,” katanya.

ADUN Kota Kemuning, V Ganabatirau melihat Amirudin – juga exco selama dua penggal sewaktu Azmin menjadi menteri besar – sebagai ‘kapten’ kapal yang baik.

“Beliau menunjukkan beliau adalah anak didik daripada Azmin Ali dan menepis persepsi orang ramai walaupun masih muda tetapi berjaya ‘mengemudi kapal’ dengan begitu baik sekali.

“Sebenarnya segala positif yang dibawa ketika era pentabdiran Azmin Ali kini diteruskan kembali oleh Amirudin dan saya nampak satu kesinambungan yang sangat positif,” ulasnya.

Pada 19 Jun 2018, Amirudin yang ketika itu merupakan Exco Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri dilantik dan mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-16.

Beliau menggantikan Azmin selepas Anggota Parlimen Gombak itu melepaskan jawatan berikutan dilantik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri hal ehwal Ekonomi.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim memuji klusterisasi atau pembangunan gugusan yang dilaksanakan Amirudin menerusi Belanjawan 2019.

Jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan pemain industri juga berjalan dengan lebih baik dan mantap di bawah pentadbiran Amirudin Shari, katanya lagi.

“Kerjasama pasukan antara Exco sesama Exco, Exco antara kerajaan dan GLC berjalan dengan baik dan mantap supaya tidak berlaku pembaziran dan berlakunya duplikasi kerja.

“Saya yakin sebahagian besar juga disumbangkan oleh kemenangan kita di peringkat pusat. Itu juga banyak membantu dari segi penyelarasan kerja-kerja di peringkat pusat dan negeri,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73651

Posted by on Jun 20 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE