AMK gesa kecualikan warganegara daripada cukai pelancongan

KUALA LUMPUR 10 JUN: Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Chang Lih Kang menggesa Putrajaya agar mengecualikan warganegara Malaysia daripada membayar cukai pelancongan yang dikenakan ke atas bilik hotel.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja itu berpendapat rakyat kini sudah cukup terbeban dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan langkah itu juga akan membantutkan hasrat orang ramai untuk melancong di dalam negeri.

“Sepatutnya hanya pelancong asing dicukai dan warganegara dikecualikan. Tidak mustahil selepas ini warganegara Malaysia terpaksa membawa khemah sendiri untuk melancong di negara sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berpendapat cukai itu akan menjejaskan industri hotel tempatan yang kini berada pada tahap yang kurang memuaskan.

“Hotel-hotel sekarang sudah mengalami penurunan jumlah penginapan yang amat ketara.

“Kini ditambah cukai berkenaan bermakna langkah ini adalah hendak membunuh industri perhotelan dan bukannya menambah baik industri. Yang ditambah adalah kantung menteri Umno BN sahaja.

“Selain itu, cukai hotel ini juga bakal menghalang pelancong asing tinggal lebih lama dan berbelanja lebih ketika mereka bercuti di Malaysia,” katanya.

Cukai pelancongan akan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos depan dan akan menyaksikan pelanggan membayar sehingga RM20 semalam untuk sebuah bilik hotel.

Cukai itu dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang menginap di mana-mana hotel di Malaysia, termasuk rakyat tempatan dan mereka yang melakukan perjalanan bagi tujuan perniagaan dan bukan santai.

Dengan pengenalan cukai tersebut, pelancong dan penyewa bilik hotel bakal terbeban dengan sekurang-kurangnya tiga jenis bayaran tambahan ke atas harga bilik – GST pada kadar 6 peratus, caj perkhidmatan pada kadar 10 peratus, dan cukai pelancongan.

Ia bakal dilaksanakan selepas Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan diluluskan di Parlimen pada sidang yang lalu.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan boleh mengutip sehingga RM654 juta jika kadar penginapan adalah pada 60 peratus.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70089

Posted by on Jun 11 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE