AMK: Kesetiaan bekas jeneral terhadap negara tidak wajar dipertikai

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN, Lee Khai Loon mengecam Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak atas tindakan beliau menyamakan masa depan negara dengan kepentingan parti politik.

Demi kepentingan BN, Perdana Menteri cuba mempertikaikan kesetiaan pada negara di kalangan bekas anggota tentera yang akan bertanding dalam pilihan raya. Tindakan beliau sama sekali menghina ketetapan bekas jeneral untuk bertanding dalam pilihan raya.

Angkatan Muda KEADILAN menegaskan bahawa kesetiaan bekas anggota tentera dan pekerja sektor awam terhadap Malaysia sebagai ibu pertiwi telah disalahertikan sebagai kesetiaan terhadap parti BN.

Najib cuba mengaburkan mata rakyat dan mengelak daripada realiti bahawa pertukaran kerajaan atau parti politik merupakan lumrah dalam sistem demokrasi. Tindakan Najib bertentangan dengan prinsip demokrasi.

AMK berpendapat bekas anggota-anggota tentera tidak mengingini masa depan negara ini musnah dalam tangan kerajaan yang korup. Justeru golongan pesara ini memilih untuk menyertai Pakatan Rakyat dan berjuang untuk mengubah nasib tanah air. Mereka mengharapkan kepemimpinan daripada kerajaan baru.

Pada masa yang sama, pemimpin BN sepatutnya menginsafi kesilapan yang lalu. Banyak kes rasuah berlaku ketika Najib menyandang jawatan Menteri Pertahanan, antaranya termasuklah kes pemerolehan komisen dalam pembelian kapal selam terkemuka dan kes kecurian enjin jet pejuang. Kita seharusnya menghormati semangat bekas anggota-anggota tentera ini yang berani menuntut perubahan.

Pekerja sektor awam wajarlah bersikap profesional dan neutral. Apabila sesebuah parti politik mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan, pekerja sektor awam yang juga sebagai kakitangan kerajaan hendaklah melaksanakan dasar kerajaan sepenuhnya.

Di samping itu, mereka juga haruslah setia kepada negara dan sedia berkhidmat untuk rakyat. Bagaimanapun, kakitangan kerajaan juga mempunyai identiti sebagai warganegara. Golongan ini memiliki hak demokrasi untuk mengundi kerajaan yang cekap agar negara ini dapat ditadbir dengan lebih berkesan.

Akhir sekali, AMK menyeru semua anggota polis dan tentera, pekerja-pekerja pentadbiran, guru-guru dan pekerja sektor awam berserta kakitangan kerajaan yang telah bersara supaya mengundi secara bijak. Demi masa depan negara dan generasi yang akan datang, kita berkewajipan mengundi kerajaan yang cekap, amanah dan mendahulukan kepentingan rakyat.

Lee Khai Loon
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=49985

Posted by on Apr 11 2013. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google