Saiz Teks: A A A

AMK mahu SPRM diberi kuasa pendakwaan

KUALA LUMPUR 29 Feb: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kuasa pendakwaan dalam usaha untuk membanteras gejala rasuah di Malaysia, kata ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin,

“Dalam konteks kuasa pendakwaan, AMK berpandangan ia tidak seharusnya khusus kepada Peguam Negara semata-mata.

“Sebaliknya, pindaan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 perlu dipinda agar kuasa pendakwaan  diberikan sepenuhnya oleh SPRM.

“AMK yakin dan percaya, sekiranya ini dicadangkan, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyatakan pendirian bersetuju dengan pindaan ini demi memastikan agenda membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan telus,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Merujuk jaminan perdana menteri bahawa SPRM akan diberi lebih banyak kuasa sekiranya Barisan Nasional (BN) menang majoriti dua-pertiga dalam Pilihan raya umum (PRU) akan datang, AMK mempersoalkan komitmen tersebut yang dilihat sangat meragukan.

Beliau mengingatkan mengenai puluhan laporan yang dibuat kepada agensi itu melibatkan ahli politik Umno-BN, namun tidak ada satu pun laporan yang diambil serius oleh SPRM.

“Ini senario yang berlaku dalam keadaan Umno-BN sendiri sedang memerintah Malaysia dengan majoriti mudah di Parlimen.

“Justeru rakyat boleh membayangkan, sekiranya majoriti dua-pertiga diberikan kepada Umno-BN, apakah yang bakal terhasil?,” Soal beliau.

Mengaitkan kes National Feedlot Corporation (NFCorp), Shamsul berkata tindakan pendakwaan sepatutnya boleh diambil SPRM pada kadar segera dengan informasi yang dikira sangat mencukupi untuk menghadapkan pihak-pihak berkenaan ke muka pengadilan.

“Tetapi sehingga ke hari ini, tiada apa yang boleh dilihat. Malah Dato’ Sri Najib sendiri mempertahankan kredibiliti Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil yang terlibat secara tidak langsung dalam skandal NFC ini.

“Komitmen Najib ini sebenarnya memberikan satu petanda jelas, bahawa SPRM akan menjadi lebih mandul sekiranya BN terus diberikan mandat memerintah negara, baik melalui majoriti mudah mahupun majoriti selesa,” ujarnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=27544

Posted by on Feb 29 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry