AMK sertai piket MTUC di seluruh negara

KUALA LUMPUR 3 Nov: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) akan menyertai Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang  mengadakan piket di seluruh negara petang ini.

Piket tersebut bagi membantah pindaan Akta Kerja 1955 dan menuntut kerajaan supaya menarik balik pindaan berkenaan yang diluluskan di parlimen Oktober lalu.

“Biro Pekerja Muda AMK akan turut serta dalam menjayakan piket tersebut dan meminta agar makluman disampaikan kepada semua peringkat MP AMK dan AMK  Negeri bagi turut serta menjayakan piket,” kata Biro Pekerja Muda AMK dalam satu kenyataan media.

Menurut Pengarahnya, Mohd Faisal Abu Bakar pindaan akta kerja yang telah diluluskan akan membawa impak yang buruk kepada pekerja dan kesatuan sekerja.

“Sebilangan Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat telah membahas untuk tidak bersetuju pindaan akta Kerja 1955 ini diluluskan, namun begitu keputusan majoriti dari Kerajaan telah meluluskan akta tersebut,” katanya.

MTUC sebelum ini membantah pindaan akta berkenaan kerana ia mewujudkan kontraktor tenaga kerja yang membolehkan majikan ‘mengupah’ kontraktor bagi memberikan tenaga kerja kepada majikan.

Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 itu  diluluskan Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu iaitu tiga hari selepas piket pertama diadakan MTUC di kawasan Parlimen.

Piket pada petang ini dijalankan di 18 lokasi seluruh negara  antara jam 5 hingga 6.30 petang.

Sementara itu, Pengerusi Kokus Parlimen Mengenai Pekerja, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, rakyat asing akan membentuk tenaga kerja terbesar di negara ini sehingga pekerja tempatan disisihkan jika pindaan Akta Kerja 1955 dikuatkuasakan.

Katanya, keadaan ini bakal berlaku jika pindaan kontroversi itu diteruskan tanpa agenda perlindungan buruh tempatan yang jelas.

Abdullah Sani berkata trend semasa menunjukkan majikan mengenepikan tenaga kerja tempatan untuk pekerja asing yang sanggup bekerja dengan gaji yang murah, dan tanpa perlindungan undang-undang buruh.

 

 

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=22553

Posted by on Nov 3 2011. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google