AMK Wilayah gesa lebih ramai senator wakili belia

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tentang pelantikan seorang anggota Dewan Negara daripada kalangan belia.

Namun, Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Na’im Brundage berpandangan pelantikan hanya seorang anggota senat bagi mewakili 11 juta belia di negara ini tidak mencukupi.

“Tidak wajar sama sekali bagi lebih 11 juta warga belia berumur 15-35 tahun untuk diwakili oleh seorang ahli Dewan Negara sahaja memandangkan jumlah keseluruhan Ahli Dewan Negara adalah 70 orang.

“AMK Wilayah Persekutuan berharap kerajaan akan dapat meneliti semula jumlah kuota yang akan disediakan untuk anak muda di dalam Dewan Negara memandangkan anak-anak muda di negara kita kebanyakannya masih terbelenggu dengan pelbagai isu dan masalah akibat sikap tidak ambil peduli kerajaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Dr Mahathir ketika merasmikan Hari Belia Negara 2019 Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, semalam memngumumkan akan melantik seorang anggota Dewan Negara daripada golongan belia.

Dr Mahathir turut memberi jaminan yang lantikan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Menurut Na’im, AMK Wilayah Persekutuan mahu melihat golongan itu diwakili dengan sewajarnya dalam proses pembuatan keputusan.

“Penglibatan anak muda yang mencukupi dalam proses legislatif negara adalah salah satu kunci kepada penyelesaian pelbagai isu dan masalah yang kini dihadapi oleh mereka.

“Gesaan ini perlu diambil serius memandangkan populasi golongan belia berjumlah lebih daripada satu pertiga daripada jumlah keseluruhan populasi negara,” tambahnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73477

Posted by on May 16 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE