Saiz Teks: A A A

Anak tetap gesa Isa Samad letak jawatan pengerusi Felda

KUALA LUMPUR 24 Feb: Di sebalik sikap keras kepala Tan Sri Isa Samad untuk menyenaraikan Felda Global Venture Holding Berhad (FGVHB), Persatuan Anak Peneroka kebangsaan (ANAK) meneruskan desakan supaya pengerusi Felda itu meletakkan jawatan serta merta.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, jika Isa enggan meletakkan jawatan, Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak wajar memecat beliau kerana jawatan itu atas lantikan Najib sendiri.

“Dari segi politik, orang Umno pun tahu tindakan Najib mengekalkan Isa Samad bukan sahaja merugikan peneroka, malah imej Najib itu sendiri terjejas teruk ,” katanya.

Bahkan, menurut Mazlan, Isa bersikap biadap apabila menghalau peneroka Felda semasa sesi taklimat berhubung penyenaraian FGVH, kelmarin.

Dalam kejadian itu, R Sanggam dihalauĀ  selepas Isa Samad gagal menjawab soalan yang dikemukakan peneroka berkenaan.

“R Sanggam sudah menetap di Felda lebih 50 tahun dan tindakan Isa Samad ini bukan sahaja biadab malah mengkhianati peserta Felda sendiri kerana R Sanggam turut memiliki saham maksimum 250,000 dan berhak mengetahui kesan penyenaraian itu,” kata Mazlan.

Ditanya pandangannya sebab Najib masih mengekalkan Isa Samad, beliau berkata, ‘kedua-dua individu itu berkongsi rahsia’ dan rakyat yang mengikuti perkembangan politik negara ‘tahu’ sebab tersebut.

Dalam masa sama, Mazlan berkata Anak sedang mengkaji tindakan lanjut untuk menghalang 360,000 hektar tanah Felda dipajak kepada FGVH bagi tujuan penyenaraian itu.

Sebelum ini, Mazlan berulangkali mendesak Isa Samad berundur dan memfokuskan tugasnya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang.

“Rumahtangga Felda biar diserah kepada yang berwibawa kerana terdapat 10 ribu anak-anak Felda yang mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang boleh mengambilalih tempat beliau.

“Jika Isa enggan, Najib wajar memecat beliau,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Anak sebelum ini turut mendakwa berlaku rombakan besar-besaran dalam pengurusan Felda akibat campurtangan Isa Samad, selepas Pengarah Besarnya, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab direhatkan.

Bekas Naib Presiden Umno itu didakwa bertindak di luar bidang kuasa dengan menyingkirkan orang-orang yang dianggap tidak boleh bekerjasama dengan beliau dan tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH di bursa Malaysia.

Selain Dzulkifli dicutikan, Timbalan Pengarah Pembangunan yang juga Setiusaha Koperasi Permodalan Felda (KPF) turut diarah berpindah ke Putrajaya manakala Timbalan Pengarah Besar Felda pula dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=27104

Posted by on Feb 24 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry