Anugerah kewartawanan: Hargailah media alternatif

Oleh: LanH

ULASAN Saban tahun karyawan, wartawan, dan penulis media massa arus perdana dirai dan diberi penghargaan dalam Majlis Malam Wartawan Malaysia dan Penyampaian Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas.

Beberapa hari lalu sambutan seumpama itu diadakam; sayang seribu kali sayang bagi anugerah tahun 2017, ketika proses ke arah penyempurnaan majlis seperti pemilihan pemenang, kerajaan Pakatan Harapan belum berkuasa, jadi (jika dilihat daripada senarai pemenang) semuanya membabitkan karyawan daripada apa yang dipanggil media massa arus perdana.

Satu kelainan, majlis kali ini menampilkan menteri luar yang juga Setiausaha Agung Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai perasmi dan penyampai anugerah. Beliau dipetik sebagai berkata kerajaan Harapan memberi jaminan akan memberi ruang untuk menyuburkan kebebasan media di negara ini.

Beliau dipetik sebagai berkata Malaysia sekarang melalui transisi politik untuk menjadi sebuah negara demokrasi matang dan media berperanan penting dalam membantu merealisasikan objektif itu.

Katanya, kerajaan hari ini juga lebih bersahaja serta bersedia untuk menerima kebebasan media.

“Wartawan tak perlu risau akan menerima panggilan daripada Pejabat Perdana Menteri atau daripada menteri-menteri lain. Buat debat pun tak larang. Harap tak ada editor yang akan dipanggil hanya kerana gambar yang diguna kurang menarik,” katanya pada Malam Wartawan Malaysia 2018 dan Penyampaian Anugerah Kewartawan Malaysia 2017 MPI-Petronas 2017 itu.

Sebanyak 20 kategori dipertandingkan tahun ini (bagi tahun 2017), antaranya, Infografik Terbaik, Kartun Editorial Terbaik, Laporan Berita Cemerlang, Laporan Radio Terbaik, Laporan Portal Berita Terbaik, Foto Esei Cemerlang dan Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang. Pertandingan anugerah MPI-Petronas 2017, anjuran Institut Kewartawanan Malaysia (MPI), menerima 349 penyertaan, berbanding 216 penyertaan tahun sebelumnya.

Pada pandangan saya, sekalipun proses pemilihan pemenang Majlis Penganugerahan tahun 2017 ini dibuat sebelum kerajaan Harap. berkuasa, setidak-tidaknya pada saat-saat terakhir selepas Harapan berkuasa, penganjur boleh menyelitkan anugerah bagi penulis dan media alternatif seperti Suara Keadilan, Harakah dan Roket. Namun amat mendukacitakan perkara ini tidak dilakukan sekalipun penganjur sempat menjemput tokoh Harapan untuk menyempurnakan majlis. 

Mengapa perasmi daripada kerajaan Harapan boleh dipanggil sedangkan penulis dan wartawan serta media massa alternatif seluruhnya tidak dihargai langsung? 

Membaca coretan wartawan, editor dan penulis media alternatif seperti Suara Keadilan dapat diketahui suara hati mereka – sedikit sebanyak mereka menyumbang kepada kejatuhan kerajaan hipokrasi dan kleptokrasi, tetapi seperti biasa, pemerintah tidak memandang sebelah mata pun kepada mereka!

Jadi pada tahun-tahun berikutnya, penulis berharap media massa yang selama ini disifatkan sebagai media alternatif termasuklah wartawan, penulis dan mereka yang terbabit dalam menjayakan penerbitan, dimasukkan sebagai calon dalam anugerah-anugerah yang disediakan. 

Jangan lagi kita terpedaya kononnya hanya media massa arus perdana ini yang ‘banyak berjasa’ sedangkan bukti terserlah ramai daripada karyawan terutama peneraju seperti editor-editornya adalah bersifat bagaikan sumpah-sumpah! 

Mereka tukang ‘spin’ yang hebat, sekarang ini pun mereka main ‘spin’ tetapi pihak dibodeknya sudah bertukar!

Jika di Indonesia pada zaman Suharto dulu, kita dapat saksikan media massa berpaling arah 360 darjah bagi sama-sama menyertai kebangkitan rakyat bagi menjatuhkan rejim korup itu, tetapi media massa arus perdana Malaysia nampaknya ‘enak-enak saja menikmati hasilnya’ selepas kerajaan kleptokrasi Umno BN ditumbangkan. 

Dulu mereka menjadi ‘pembodek utama’ tetapi sekarang ramai yang berlagak bagaikan ‘pejuang’ pula!

Ketika menulis artikel ini, penulis teringat pesanan ‘pejuang rakyat’ Mohamad Sabu (kini Menteri Pertahanan) mengenai media massa. 

Dalam satu ceramahnya yang penulis hadiri, beliau mengingatkan bahawa salah satu kongkongan kerajaan Umno BN yang masih belum ‘dimerdekakan’ adalah media massa.

Mohamad berkata kebebasan media massa adalah penting dalam membuat perubahan. 

Beliau mengambil contoh pengamalan media massa Indonesia yang bukan saja berperanan penting ke arah perubahan bagi menjatuhkan diktator Suharto pada pengakhiran abad lalu malah sehingga kini termasuklah ketika berlangsungnya pilihan raya umum (Pemilu).

Presiden Amanah itu menyarankan semua petugas media massa bangkitlah daripada ‘tidur nyenyak dan panjang’;  jangan membiarkan diri dipermain-mainkan dan diperkudakan oleh kerajaan yang berkuasa.

Dulu media Indonesia tidak berani menjalankan peranan semak dan imbang, kerja mereka banyak mengampu atau menjadi ‘yes man’ atau jurucakap pemerintah sahaja. 

Bagaimanapun selepas kebangkitan rakyat, media massa berubah mendadak,  daripada prorejim Suharto mereka menjadi prorakyat.

Media terutama akhbar menyuntik dan menaikkan semangat rakyat untuk menuntut keadilan bagi semua. Suharto akhirnya tumbang bagi membolehkan pilihan raya yang dianggap telus diadakan membawa kepada kepada pemilihan tokoh seperti BJ Habibie, Gus Dur, Megawati  Susilo Bambang Yudhoyono dan kini Jokowi sebagai Presiden.

Demikian juga jika dikaji perkembangan media massa tanah air sebelum negara mencapai kemerdekaan. Akhbar-akhbar awal Tanah Melayu seperti Jawi Peranakan, Majlis dan Utusan Melayu sendiri menyemarakkan semangat anak watan ke arah pembebasan daripada belenggu penjajahan.

Dulu pemerintah Umno BN membodohkan rakyat terutama melalui media massanya, sekarang diharapkan kerajaan Harapan termasuk menteri-menterinya tidak begitu; jadi sama-samalah beri pengiktirafan dan penghargaan kepada media massa terutama akhbar-akhbar alternatif seperti Suara Keadilan dan karyawannya.

Sorotilah negara-negara maju, kita akan dapati di samping media tradisional termasuk yang mendakwa sebagai arus perdana, peranan media alternatif tidak dikesampingkan. 

Di negara-negara ini, media massa alternatif mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan kehidupan, termasuk perjuangan golongan atau kumpulan minoriti. 

Media alternatif secara tradisinya dilihat sebagai suara kumpulan minoriti tetapi tidak mustahil ia boleh mewakili golongan majoriti. 

Berdasarkan perkembangan di negara Barat ini yang demokrasinya menjadi sanjungan banyak pihak di Malaysia termasuk parti pemerintah, maka perlulah pihak berwajib memberikan hak untuk semua parti-parti politik termasuklah daripada pembangkang membangunkan media massa mereka sendiri termasuk TV dan radio yang siaran atau terbitannya tidak terhad kepada ahli parti tetapi untuk semua warga. 

Jika situasi ini dibenarkan, akan wujudlah persaingan sihat media massa yang sudah tentu akan menguntung serta memaju serta mematangkan rakyat negara ini. 

Jadi kepada kerajaan baharu dalam negara yang ada orang memanggilnya sebagai Malaysia Baharu, iktiraf dan berilah sama-sama penghargaan kepada media massa alternatif yang selama ini berjuang bermati-matian bagi membolehkan tokoh politik menjadi wakil rakyat dan seterusnya menteri, dan yang paling besar sekali menumbangkan rejim korup yang lama! 

Tidak ingatkah anda semua akan hal ini?

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72042

Posted by on Jul 20 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE