Anwar bakal presiden baharu KEADILAN

Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bakal presiden KEADILAN yang baharu apabila tiada nama lain menghantar borang pencalonan untuk jawatan itu, selepas proses penamaan calon untuk Pemilihan KEADILAN ditutup petang tadi.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan KEADILAN (JPP) Ismail Yusof berkata nama Anwar bakal disahkan sebagai presiden secara rasmi selepas disahkan JPP.

“Mengikut peraturan kami akan pamerkan semua nama calon yang layak bertanding pada 8 Ogos ini.

“Setelah itu ada tempoh untuk bantahan selama tiga hari, diikuti dengan tempoh rayuan selama tiga hari juga.

“Proses cabutan untuk nombor undian masing-masing pula akan dilakukan pada 19 Ogos,” katanya.

Penyandang jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula sah bakal dicabar bos Invoke Malaysia, Rafizi Ramli.

Borang pencalonan Azmin yang berada di Singapura diserahkan anggota Dewan Undangan (ADUN) Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham. 

Pencalonan Azmin disokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Empat jawatan naib presiden pula bakal direbut oleh sepuluh orang.

Mereka ialah:

William Leong (MP Selayang)

Datuk Johari Abdul (MP Sungai Petani),

S Kesavan (MP Sungai Siput)

Nurul Izzah Anwar (MP Permatang Pauh)

Dr Xavier Jeyakumar (MP Kuala Langat)

Zuraida Kamaruddin (MP Ampang)

Shamsul Iskandar Mohd Akin (MP Hang Tuah Jaya)

Tian Chua (bekas MP Batu)

Azan Ismail (bekas ADUN Bandar, Terengganu)

Michael Tamil

Datuk Dr G Balasubramaniam

Vasantha Kumar

Jawatan ketua wanita pula bakal direbut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan ADUN Lembah Jaya, Haniza Talha.

Sementara, jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi yang berpasangan dengan Timbalan Ketua Pemuda AMK Melaka Naqiuddin Nazrin, ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin yang berpasangan dengan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham, dan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir yang berpasangan dengan Raymond Ahua.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72133

Posted by on Aug 5 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE