Anwar: Boleh berkongres tapi jangan rasis

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim berpendapat Kongres Maruah Melayu yang akan berlangsung pada 6 Oktober ini mampu membuka ruang perbincangan yang lebih mendalam tentang masalah orang Melayu.

Menurut anggota Parlimen Port Dickson itu, perjalanan kongres tersebut perlu dicermati supaya ia tidak dicemari oleh sentimen perkauman.

“Pendirian saya adalah kita perlu menggalakkan penglibatan semua pihak. Jika niatnya adalah untuk membahaskan perkara sensitif dengan lebih bernuansa di depan kehadiran budaya dan kaum lain, maka kita perlu melihat kepada program itu dan resolusinya.

“Penting kita jaga apa pun tujuannya supaya jangan kita panaskan suhu politik ketegangan kaum terutama kalau ada usaha orang bangkitkan – sesetengah orang itu adalah pendukung rejim lama paling kuat dan juga yang paling kuat pandangan perkauman mereka – kita harus waspada.

“Kalau tujuannya itu bawa kepada kebaikan saya tidak ada apa-apa halangan,” kata Anwar kepada media selepas program Meet Anwar di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, hari ini.

Kongres Maruah Melayu dianjurkan empat buah universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Ahad ini.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dijadualkan hadir untuk menyampaikan amanatnya.

Mengulas kehadiran Dr Mahathir ke kongres itu, Anwar percaya perdana menteri kekal konsisten mewakili kepentingan semua kaum di Malaysia.

“Kita perlu percaya yang beliau akan menyampaikan mesej yang meliputi kepentingan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang ura-ura pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Anwar berpendapat perkara itu perlu dikaji dengan teliti.

“Pandangan peribadi saya adalah kita kena mengkaji perkara ini dengan hati-hati kerana pendirian kita selama ini adalah untuk menyemak semula dasar percukaian.

“Satu kajian perlu dilaksanakan,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74098

Posted by on Oct 3 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE