Anwar desak k’jaan jawab pendedahan Musa Hassan, Deepak

(Oleh Aedi Asri)

PETALING JAYA 3 Dis: Umno BN didesak menjawab pendedahan serius mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan berhubung salah laku beberapa pemimpin parti itu.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan berhubung isu keselamatan negara dari seorang bekas KPN menuntut jawapan dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Musa keluarkan kenyataan yang buat tuduhan keras pada menteri dalam kes libatkan jenayah.

“Tindakan menteri campur tangan dalam urusan profesionalisme polis dan dalam kes tertentu, (untuk) melindungi penjenayah. Ini isu besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Tegas Anwar, kenyataan Deepak yang diketahui umum memiliki hubungan rapat dengan keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh didiamkan.

“Saya akui bukan semua kenyataan perlu dijawab, terutama kenyataan liar.

“Tetapi kenyataan yang berdasarkan fakta dan dokumen itu perlu dijawab. Deepak kata beliau ada dokumen, ada rekod.

“Kemudian bangkit pula kes libatkan (Ketua Wanita Umno Selangor) Raja Roopiah (Raja Abdullah)…Tanah yang dibeli dengan begitu murah dan (sepatutnya) tak mudah diluluskan tetapi libatkan Perdana Menteri dan Kabinet.

“Jadi Perdana Menteri yang doa dan bersumpah dengan nama Allah (dalam Perhimpunan Agung Umno) patut jawab,” kata Ketua Pembangkang yang turut mengecam media arus perdana yang cuba memadam perkara itu.

Musa dalam sidang medianya Rabu lalu menyatakan Hishammuddin mencampuri urusan polis ketika di bawah pimpinannya, termasuk memberi arahan terus kepada pegawai rendah dan ketua polis daerah.

Deepak pula dalam wawancara Malaysiakini sebelum itu menyatakan kekesalannya kerana terlibat mengaturkan akuan bersumpah kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang membatalkan akuan bersumpah pertama mengaitkan Perdana Menteri dalam pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berjanji menjawab pendedahan Deepak dalam ucapan penggulunggan Perhimpunan Agung Umno bagaimanapun gagal berbuat demikian.

Dalam pada itu, Anwar turut menafikan tuduhan pemimpin Umno, antaranya Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal bahawa Pakatan Rakyat bertanggungjawab merancang pendedahan Musa dan Deepak.

“Tuduhan itu tidak adil. Musa tidak tunjukkan sebarang niat untuk terlibat dalam politik.

“Kenyataan Deepak pula sempena perbicaraan mahkamah yang libatkannya. Beliau ingin pertahankan diri dan gunakan bukti sebagai sokongan. Jadi apa kaitannya dengan kami?” soal Anwar.

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=40494

Posted by on Dec 3 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google