Anwar diziarahi Erdogan selepas pembedahan

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan isterinya selepas beliau selesai menjalani pembedahan tulang belakang di negara itu.

“Kunjungan mereka amat saya hargai meski waktu mereka terbatas dek kesibukan mengurus kemenangan pilihan raya,” katanya.

Menurut Anwar, beliau turut mengirimkan salam dan ucapan tahniah Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas kemenangan meyakinkan parti pimpinan Erdogan, AK Parti dalam pilihan raya Turki 24 Jun lepas.

“Pastinya kemenangan tersebut akan terus memberi nilai tambah kepada suburnya demokrasi dalam dunia Islam kontemporari,” katanya.

Anwar pada hujung minggu lalu menjalani pembedahan tulang belakang dan akan menjalani pembedahan lain di bahu kanannya pada Khamis ini.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, Anwar berkata pembedahan itu bagi memulihkan saluran tulang belakang beliau yang sempit.

Kata Anwar, beliau mengalami ‘lumbar central stenosis’, keadaan di mana saluran tulang belakang sempit, menyebabkan rasa sakit dan kebas.

“Sebagai pemulihan ‘lumbar central stenosis secondary’ dan ‘central disk herniation’ yang saya alami, saya harus menjalani pembedahan tulang belakang susulan di Medipol Mega University Hospital, Istanbul.

“Alhamdulillah, kesihatan beransur baik usai pembedahan tersebut dan saya dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada hari Khamis di bahagian bahu kanan rentetan kecederaan rotator cuff,” kata beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71984

Posted by on Jul 9 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE