Anwar insan visi yang sengaja dikunci

Oleh A Samad Said

(Artikel diolah daripada ucapan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said di Majlis Anwar Calon Keamanan Nobel pada 5 Januari bertempat di Dewan Sivik MBPJ)

Baru-baru ini dalam majlis menghargai sumbangan kemanusiaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kumpulan Otai telah membangkitkan soal menghargai sumbangannya (Anwar) secara lebih berisi dan bermakna. Dirasakan bahawa Datuk Seri Anwar wajar dan waras dicalonkan sebagai pemenang Anugerah Nobel Keamanan.

IMG_5832Anwar adalah insan hati nurani, insan visi dan insan aksi. Dan kita tidak ingin insan sedemikian ini terus tersia-sia dalam penjara. Dia mempunyai penuh peluang untuk menyumbang bakti kepada umat manusia di luar penjaranya. Dan bagi saya sebagai seorang Sasterawan Negara yang nyata kini saya dapati dirinya adalah tahanan siasah yang terancang.

Kita tahu bahawa perjuangan kemanusiaannya telah pun bermula ketika dirinya masih mahasiswa lagi. Di waktu itu beliau sudahpun menyedari akan dunia yang tempang dan dalam perjuangannya membela nasib rakyat miskin yang hidup hanya dengan memakan ubi kayu. Dia memulai gerakan manusia bagi manfaat kemanusiaan khusus di tanah airnya.

Dia sepatutnya mempunyai masa depan kehidupan yang membangun di hadapannya. Dirinya adalah jenis manusia yang sedia berjuang untuk masa kini dan masa depan dunia yang cemerlang dan terbaik untuk kehidupan serta manusia itu sendiri.

Mungkin manusia bandingan baginya adalah watak luar biasa seperti Albert Schweitzer yang merendangkan dirinya dalam rimba untuk melahirkan dan mewujudkan kesedaran nilai akan kemanusiaan dan kewarasan murni di tangan makhluk Tuhan.

Orang-orang seperti ini walaupun lambat dan terlupa tetapi akhirnya tetap dianugerahi penghargaan luar biasa kerana sumbangannya yang luar biasa. Di dalam negara kita kini Alhamdulillah sedang wujud seorang insan berkualiti seperti ini dan Datuk Seri Anwar adalah di antaranya yang telah memberi khidmat baik kepada upaya kemanusiaan.

Malah dia sebenarnya dapat memberi sumbangan kemanusiaan yang lebih ternilai lagi kepada masyarakat umum. Seperti yang diimbaskan dalam buku bervisinya The Asian Renaissance. Malangnya dirinya kini berada sia-sia di dalam penjara yang saya rasakan penjara itu pun lebih sia-sia.

Sudah terlalu lama dia di dalam penjara dengan pelbagai dakwaan ciptaan tetapi kehadirannya dalam penjara itu ternyata mempertingkat mutu spiritual dan meranum fikir bagi dirinya. Tetapi berada di dalam penjara dia tidak sempat melanjutkan kerja-kerja kebajikan masyarakatnya.

Dirinya sejauh ini adalah bayangan padu manusia damai yang boleh mempertingkat nilai kehidupan insan dan keamanan dunia. Kita mempunyai manusia berkualiti yang selama ini tampaknya sengaja dipersia-sia. Seperti kata saya dia insan hati nurani, insan visi, dan insan aksi yang kini sengaja dikunci.

Kita ingin dia bermanfaat bagi kesejahteraan insan di dalam dunia yang masih serba kacau dan bahaya. Makanya kita merasa sangat tepat pada masanya dia dianugerahi satu limpahan hormat dalam bentuk sangat bermaruah seperti Anugerah Keamanan Nobel. Dengan perjuangan murninya itu tempatnya adalah sebaris dan semurni dengan kerja-kerja kemanusiaan dan perdamaian seperti yang telah dilakukan oleh watak-watak murni seperti Shirin Abadi, Kofi Annan, dan Nelson Mandela.

Saya harap suara hati nurani saya ini bakal didengar dengan sendirinya.

Artikel dipetik daripada Suara Keadilan adisi 258 bertarikh 12 Januari 2015

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=68598

Posted by on Jan 12 2016. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL, RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE