Anwar kecam rampasan tanah Pengerang, pindah kubur

(Oleh: Aisha Geofrey)

 

PENGERANG 26 Jan: Pemimpin rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam rampasan tanah penduduk dan tindakan mengalihkan kubur untuk projek Rapid Pengerang  yang disifatkan tidak bertimbangrasa.

“Kerana apa mereka sanggup rampas tanah begitu saja? Kerana mereka fikir penduduk Pengerang hanya rakyat di bawah, suka hati mereka nak gali kubur semata-mata untuk projek pembangunan yang diberi kepada kroni,” kata Anwar di Majlis Makan Malam dan Ceramah Jom Ubah dekat sini, semalam.

“Kita bukan menolak pembangunan, tetapi perlu kah sampai mengenepikan rakyat begitu saja? Kenapa ada layanan berbeza antara orang mereka (Umno), yang kaya dengan rakyat miskin?” katanya.

“Cuba kita tanya mana-mana Exco, Ketua Pemuda atau Menteri Umno, adakah antara mereka yang boleh benarkan kubur arwah datuk atau nenek mereka digali hanya untuk pembangunan? Tak ada!” tegasnya disambut tepukan 1000 tetamu yang hadir.

Anwar pada Oktober tahun lalu menegaskan Pakatan Rakyat tidak menolak program pembangunan tersebut, namun membantah pelaksanaan projek berkenaan.

Pertama, kawasan yang diambil alih seperti kampung tradisional dan tanah perkuburan, sedangkan ada kawasan alternatif.

Kedua, projek tambakan laut yang menyebabkan nelayan tradisional Melayu mengalami kerugian besar.

Beliau sebelum ini turut menegaskan Pakatan tidak yakin dengan keputusan kajian impak alam sekitar (EIA) yang sepatutnya memerlukan rundingan dengan penduduk terlibat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Umno BN akan akan menabur pelbagai janji manis ketika pilihan raya umum akan datang.

“Nak menang hati rakyat di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri), Parlimen sekalipun, paling penting dengar permasalahan rakyat, luahan mereka, bukan bila nak dekat pilihan raya baru sibuk nak bagi macam-macam,” katanya lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43886

Posted by on Jan 26 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google