Anwar: Kekal pelihara bahasa Melayu dalam isu UEC

Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar bahasa Melayu terus dipelihara dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Menurut Anwar, tiada kompromi dalam isu bahasa Melayu sebagai tunjang dalam dasar pendidikan.

“Kita boleh pertimbang apa jua pun seperti mana wujudnya sekolah Arab yang boleh diiktiraf tetapi kita tidak boleh abaikan bahasa Melayu dan penguasaan bahasa itu dalam mana sistem pun,”  kata Anwar dalam program Astro Awani.

Anwar juga percaya Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik cukup berwibawa untuk merungkai isu-isu yang berbangkit berhubung pengiktirafan sijil UEC.

Menurutnya, dalam perbincangan bersama tokoh pendidikan Cina, mereka turut memberi jaminan isu bahasa Melayu bukan satu masalah bagi mereka.

“Kalau begitu, menteri boleh menetapkan ini boleh dimeterai dalam satu peraturan dan undang-undang yang jelas supaya tidak ada tanggapan bahawa dasar pendidikan dikorbankan kerana semata-mata pertimbangan politik baharu,” kata Anwar.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 8 Julai lalu berkata kerajaan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru mengenai cadangan mengiktiraf sijil itu sebagai antara syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pula mahu isu pengiktirafan UEC selesai sebelum hujung tahun ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72007

Posted by on Jul 13 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE