Anwar menjunjung kasih jasa Sultan Muhammad V

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih atas jasa Sultan Muhammad V yang berkenan memastikan peralihan kuasa berlaku dengan aman selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Anwar yang juga anggota Parlimen Port Dickson pada masa sama turut melahirkan rasa hiba dan terkejut beliau atas keputusan baginda untuk meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu.

“Kami ingin melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga atas jasa dan khidmat Tuanku kepada rakyat dan negara Malaysia selama bertugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Sesungguhnya Tuanku sinonim dengan sikap tawaduʼ dan mesra, dan telah memberi ruang yang luas kepada pertumbuhan sistem demokrasi di Malaysia dengan memastikan berlakunya perubahan tampuk kuasa yang pertama kali dalam sejarah Malaysia secara aman, teratur dan damai,” kenyataan Anwar dipetik.

Anwar secara peribadi turut menjunjung kasih kepada Sultan Muhammad V yang mengampunkan beliau daripada Fitnah II di bawah rejim Umno-BN dahulu.

“Dan atas nama peribadi dan keluarga, kami menjunjung kasih Tuanku di atas perkenan Tuanku mempercepatkan proses pengampunan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan sejurus selepas PRU-14 lepas,” katanya lagi.

Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Disember 2016.

Baginda menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember 2016.

6 Januari lalu, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, berkata peletakan jawatan baginda itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan timbalannya akan diadakan pada 24 Januari ini.

Perkara itu diputuskan Raja-Raja Melayu dalam pertemuan pada 10.30 pagi Isnin di Istana Negara yang turut menetapkan Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong yang baharu dan timbalannya akan diadakan pada 31 Januari ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72773

Posted by on Jan 8 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE