Anwar mohon ketepikan sabitan Fitnah II

KUALA LUMPUR 9 JUN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik kerajaan sebagai pendakwa raya kes Fitnah II dilaporkan menerima bayaran RM9.5 juta daripada wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Anwar, R Sivarasa, berkata saman tersebut dikemukakan bagi mendapatkan keadilan buat Anwar, selepas Shafee didakwa menerima bayaran berkenaan beberapa minggu sebelum Anwar dipenjarakan.

Malah, Sivarasa mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan pemberian wang tersebut, yang didakwa dibayar kepada Shafee melalui akuan peribadinya sendiri.

“Dengan kes ini maka kita akan mendapat jawapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sehingga kini Najib dan Shafee mendiamkan diri malah tidak menafikan pendedahan dari Sarawak Report (berkenaan laporan itu),” katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anwar menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal dalam permohonan itu.

Beliau memohon satu deklarasi bahawa sabitan kesalahan Fitnah II di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 14,2014 diisytiharkan batal dan tidak sah dan ultra vires atau di luar bidang kuasa Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan.

Anwar juga memohon deklarasi bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 adalah batal dan tidak sah atas sebab-sebab yang sama.

Sarawak Report baru-baru ini melaporkan Shafee, peguam yang mewakili pendakwa raya yang berjaya mensabitkan tuduhan Fitnah II terhadap Anwar menerima wang berjumlah RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak.

Portal itu turut menerbitkan gambar pengesahan yang menunjukkan dua transaksi berjumlah RM9.5 juta, satu daripadanya pada Februari 2014, dua minggu sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Anwar, daripada tidak bersalah kepada bersalah.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70081

Posted by on Jun 9 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE