Anwar: Munasabahkah Umno berjanji lagi?

Isu pokok pilihan raya umum (PRU) adalah pengurusan negara. Kita terdedah dengan kes rasuah seperti 1MDB yang disiasat oleh lebih lima negara.

Sungguh mengaibkan manakala nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diheret secara berterusan tanpa sebarang penjelasan munasabah.

Perkara yang dilakukan adalah kenyataan bahawa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Parlimen telah membersihkan nama Najib.

Namun sejak itu, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, keputusan mahkamah Singapura, siasatan Jabatan Peguam Negara Switzerland terus mengaitkan nama Jho Low dan bahawa 1MDB adalah di bawah kelolaan perdana menteri sendiri.

Belum pernah berlaku dalam sejarah negara, nama negara khusus perdana menteri, dicemarkan semua media utama antarabangsa; apa yang pernah diungkapkan oleh The Economist sebagai “skandal terbesar yang melibatkan dana negara”.

Kedua, adalah skandal Felda, lembaga yang dibanggakan kerana menyelamatkan masyarakat desa daripada belenggu kemiskinan.

Pendedahan beberapa tahun lalu menggempurkan kerana membuktikan wujudnya pengkhianatan di kalangan pimpinan dan pengurusan tertinggi Felda merompak harta peneroka.

Mengapa penyiasatan terpendam dan kerugian berbilion ringgit dana Felda cuba dipadamkan dengan hanya siasatan dalaman. Maka suara pembela profesor Melayu yang sentiasa mencanang soal hak dan ketuanan?

Apakah pengkhianatan sebegini besar mampu dipandang ringan tanpa penyiasatan terbuka?

Kita belum saksikan kesungguhan SPRM didalam kedua-dua kes 1MDB dan Felda.

Ketiga, dengan segala keriuhan pelancaran manifesto BN dan manifesto Belia BN; mereka meninggalkan isu paling utama yang mencengkam rakyat. Rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang terutama kerana pelaksanaan GST yang lemah dan menekan rakyat.

Pengangguran meningkat, perumahaan rakyat terabai; kesenjangan di kalangan golongan kecil kaya-raya dan rakyat terbanyak terus melebar.

Munasabahkah pemimpin BN berjanji lagi? Manifesto BN dengan sendirinya mempamerkan kegagalan mereka sendiri.

Jika dirumuskan permasalahan yang diutarakan, kelemahan ketara adalah pengurusan kerajaan; kelemahan pemimpin dan kegagalan institusi pemerintahan di bawah pengendalian mereka.

Maka, rakyat wajar bangkit dan menolak rasuah dan kezaliman.

Sistem negara kian bobrok dan rakyatlah yang perlu bangkit menolak Umno-BN dan memberikan peluang kepada Pakatan Harapan menerajui negara dan mengangkat martabat Malaysia yang tercinta.

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari penjara kerana Fitnah II pada 8 Jun 2018

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71619

Posted by on Apr 16 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE