Anwar: Pelantikan Raus ‘titik hitam’ kehakiman

KUALA LUMPUR 7 OGOS: K‌etua umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata majlis angkat sumpah Tan Sri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara Jumaat lalu sebagai “titik hitam” dalam sejarah kehakiman dan perlembagaan Malaysia.

“Pelantikan ini (Md Raus dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai presiden Mahkamah Rayuan) menonjolkan sikap Datuk Seri Najib Razak yang langsung tidak menghiraukan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam negara kita ini.

“Tindakan Datuk Seri Najib ini hanya mementingkan diri sendiri dan menunjukkan betapa terdesaknya beliau untuk terus berkuasa pada ketika Malaysia dibelenggu skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara, yang mana DS Najib sendiri terbabit,” kata Anwar dalam satu kenyataan Sabtu lalu.

Tindakan terbaru Najib itu tegasnya membuktikan bahawa selagi Najib dan BN berkuasa, selagi itulah nama baik negara dan kebajikan rakyat berada di dalam bahaya.

Anwar juga ragu-ragu jika pelantikan Md Raus dan Zulkefli yang diteruskan oleh Najib walaupun menerima bantahan pelbagai pihak adalah sah di sisi Perlembagaan.

“Paling jelas, Perlembagaan Persekutuan negara ini dengan terang tidak membenarkan pelantikan ini,” tambahnya.

Pada hari Khamis, Badan Peguam Malaysia meluluskan usul di mesyuarat agung luar biasanya dan memutuskan bahawa pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan dan bahawa lanjutan mereka memegang jawatan Ketua Hakim Negeri dan presiden Mahkamah Rayuan, melepasi had usia 66 tahun dan enam bulan, adalah tidak berperlembagaan.

Anwar berkata ketetapan yang diluluskan mesyuarah agung luar biasa Badan Peguam itu, membuktikan ia cukup prihatin terhadap pelantikan tersebut.

“Saya mengucapkan tahniah kepada ahli Parlimen Pakatan Harapan yang telah mengambil pendirian yang cukup kuat dan berprinsip menentang pelantikan yang melanggar Perlembagaan ini, apabila mereka menyembahkan warkah berkenaan hal ini kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” tambah Anwar.

Pakatan Harapan juga memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merujuk keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan, kepada Mahkamah Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri bulan lepas mengumumkan bahawa dengan pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan, mereka akan mengekalkan jawatan masing-masing untuk tempoh tiga dan dua tahun lagi.

Pelantikan Md Raus dan Zulkefli kata PMO adalah berdasarkan syor ketua hakim ketika itu, Tun Arifin Zakaria yang bersara pada 31 Mac.

Bagaimanapun, pengkritik juga mempersoalkan sama ada Arifin mempunyai kuasa untuk mencadangkan hakim tambahan untuk tempoh yang telah melepasi masa persaraannya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70336

Posted by on Aug 7 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE