Anwar pertimbang bawa isu kecurangan PRU kepada Agong

(Oleh Mohd Arif Juhani)

KUALA LUMPUR 25 JUN: Ketua Parlimen Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ucapan titah Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ketika perasmian pembukaan Dewan Rakyat adalah titah yang diusulkan Perdana Menteri dan bukan satu arahan.

Katanya, ucapan itu lebih menjurus kepada perbahasan terbuka dalam Parlimen seperti yang terkandung dalam Konvensyen Demokrasi Berparlimen.

Anwar Parlimen“Titah Tuanku itu adalah titah Diraja atas usul Perdana Menteri bagi pihak kerajaan dan itu untuk membolehkan perbahasan terbuka di Dewan Rakyat diadakan. Ini adalaha malan biasa dalam mana-mana demokrasi berparlimen,”

“Maknanya kalau pidato titah Tuanku itu sebagai arahan, (maka) tidak ada perbahasan.

“Hal ini kerana prinsip konvensyen dalam negara demokrasi ialah asas itu (titah Diraja) untuk dibahaskan, bukan arahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian persidangan pertama Parlimen ke-13 hari ini.

Beliau mengulas titah Tuanku yang menyeru kepada semua pihak supaya menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Justeru, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menimbang untuk satu langkah sesuai supaya Agong turut sama memperoleh maklumat penipuan sepanjang proses pilihan raya lalu.

“Saya mempertimbang satu usaha untuk memastikan Tuanku juga mendapat maklumat berhubung penipuan dan kecurangan besar dalam PRU lalu,” kata Ketua Umum KEADILAN itu lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak menolak teks ucapan YDPA meminta semua pihak menerima keputusan PRU lalu itu disediakan oleh Perdana Menteri.

“Wujud satu usaha untuk mengheret nama baik Agong dalam isu ini. Ini adalah soal kredibiliti, legitimasi dan saya cenderung melihat ini sebagai masalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno,” ujar Pengarah Strategi KEADILAN itu.

Rafizi berkata, KEADILAN dan Pakatan tetap akan meneruskan usaha untuk memikul tanggungjawab bagi membersihkan senarai pengundi dan proses pilihan raya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=53770

Posted by on Jun 25 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE