Anwar seru Najib tidak bantah permohonan kembalikan perkenan Agong

Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Putrajaya agar tidak membantah permohonan beliau untuk mengembalikan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum sesuatu akta diluluskan.

Anwar pada Selasa lalu memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar Akta Keselamatan Negara (MKN) 2016 yang diluluskan tanpa perkenaan Raja Melayu.

“Pada Jun tahun lalu, Majlis Raja-Raja telah menyatakan kebimbangan terhadap rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara, yang memberi kuasa darurat kepada perdana menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

“Namun kerajaan BN memilih untuk tidak mengendahkan kebimbangan Majlis Raja-Raja ini dan terus mewartakan RUU tersebut tanpa perkenan diraja,” kata Anwar dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Anwar, sekarang adalah masa yang sesuai untuk Umno BN membuktikan bahawa mereka taat menjunjung kedaulatan institusi beraja di negara ini.

“Kerajaan BN seringkali berkata ia komited mempertahan kedudukan Raja-Raja Melayu

“Oleh itu saya menggesa Datuk Seri┬áNajib dan pihak kerajaan untuk mengarahkan para peguam kerajaan agar permohonan saya ini tidak dibantah di Mahkamah Persekutuan.

“Memandangkan kes ini bersifat kepentingan awam, saya menggesa agar pendengaran dapat diadakan secepat mungkin,” tegasnya.

Anwar pada 2 Januari memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam meluluskan undang-undang.

Beliau berbuat demikian bagi mencabar Akta Keselamatan Negara (MKN) 2016, yang diluluskan tanpa perkenaan Seri Paduka Baginda.

Menerusi peguam Latheefa Koya dan N Surendran, Anwar memohon supaya tiga pindaan undang-undang sejak 1983 berhubung penarikan keperluan mandatori untuk perkenaan Yang di-Pertuan Agong dalam meluluskan undang-undang, diisytiharkan tidak sah kerana mencabuli Perlembagaan Persekutuan.

Dalam permohonan itu, Anwar meminta perisytiharan bahawa Seksyen 12 Akta Perlembagaan 1983 (Pindaan), Seksyen 2 Akta Perlembagaan 1984 (Pindaan) dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan Pindaan 1994 adalah ultra vires atau bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan, kerana Parlimen tidak mempunyai hak untuk meluluskan pindaan itu.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa Akta MKN 2016 yang diluluskan dengan cara itu diisytiharkan batal dan tidak sah dan tidak diguna pakai.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71289

Posted by on Jan 4 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE