‘Anwar setaraf Malcolm-X pada mata orang Islam UK’

Ikon Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan sambutan yang meriah oleh masyarakat Islam UK yang meraikan pembebasannya dan kini dalam siri jelajahnya di negara itu yang bermula semalam.

Seorang pelajar sarjana Malaysia di King’s College London, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang turut hadir ke majlis berbuka bersama Anwar anjuran Council of Britain dan East London Mosque menceritakan  kehebatan sambutan tersebut.

“Hadirin yang hadir adalah khalayak yang mungkin sosok seperti YAB Perdana Menteri Tun Mahathir (Mohamad) tak dapat tarik iaitu golongan aktivis Muslim yang lama mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim dari zaman beliau sebagai pemimpin gerakan Islam manhaj Malizi (Malaysia) dalam ABIM dan PKPIM.

“Melalui pengamatan dan keberadaan saya sepanjang dua jam tadi di sana, dalam medan gerakan dakwah kelompok ini, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa di kaca mata hadirin, Anwar sudah capai satu tahap seperti ‘Brother’ Malcolm (X) yang pernah hadir dijemput mereka satu ketika dahulu,” catatan pengalaman beliau yang dikongsi di Facebook dipetik.

Menurutnya, Anwar dihujani soalan-solan berkaitan isu umat Islam oleh hadirin yang kelihatan yakin akan ketokohannya dalam bidang itu.

“Soalan-soalan yang ditanyakan kepada Anwar sepanjang majlis iftar bukan bersifat apa yang ditanya kebiasaannya kepada Tun Mahathir yang sering disambut sebagai seorang “statesman” (negarawan) seperti di forum Nikkei di Jepun tadi. 

“Soalan-soalan aktivis dakwah yang lama mengenali beliau ini ialah soalan-soalan yang bersifat “ummatic” – satu “wavelength” (jalur) yang mungkin mereka yang tidak pernah terlibat dengan gerakan Islam atau dakwah akan sukar memahami “nuance”-nya (kehalusannya),” katanya.

Beliau yakin kebolehan Anwar memahami dan mengolah isu-isu seperti itu menyebabkan beliau mempunyai tempat sebagai regu pemimpin yang unik dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Itulah kelebihan dan kekuatan DSAI. Dan sinergi “ummatic” DSAI yang pernah wujud dengan Tun Mahathir inilah yang membuka peluang Malaysia dan Petronas untuk masuk ke Sudan dengan jayanya.

“Hubungan gerakan Islam Ikhwan yang Anwar miliki sejak zaman mahasiswa dengan sosok seperti almarhum Hassan al-Turabi, Jeneral Omar Bashier; dan ditambah dengan prinsip kepimpinan dan kerjasama negara membangun yang Tun Mahathir bawa adalah kunci kepada kejayaan UMNO dan Barisan Nasional satu ketika dulu,” katanya lagi.

Anwar sebelum ini menghadiri satu siri pertemuan dengan Raja-Raja Melayu selepas mendapat pengampunan sepenuhnya pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Enggan menerima sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan buat masa ini, Anwar kini mengotakan janjinya untuk mengelilingi dunia berceramah dan bersyarah.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71870

Posted by on Jun 11 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE