Anwar: Waspada dengan pihak cuba kaut kekayaan

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada Pakatan Harapan agar berwaspada dengan mereka yang cuba mengaut kekayaan sejak gabungan itu mentadbir negara.

Menurutnya, golongan tersebut sebenarnya akan menjatuhkan Harapan jika ia tidak berwaspada dengan niat mereka.

“Walaupun telah banyak yang dicapai, cabaran-cabaran yang mendatang memerlukan kerjasama dan dukungan kuat semua pihak dalam Pakatan Harapan. 

“Kita juga menyedari wujudnya watak-watak yang ingin melihat kita gagal. 

“Saya menggesa pimpinan untuk berwaspada dengan pemuka-pemuka ini yang lebih senang dengan budaya kronisme, dan cubaan mereka untuk menimbun harta kekayaan, dan mengabaikan keadilan dan kebajikan rakyat,” kenyataan beliau dipetik.

Sebelum ini, Parti Peribumi Bersatu Malaysia menarik perhatian ramai apabila salah seorang naib presidennya mencadangkan agar kontrak kerajaan diagihkan kepada ketua bahagian parti untuk mendanai aktiviti parti.

Cadangan itu bagaimana pun ditolak keras sayap pemuda Bersatu menerusi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan sama menegaskan bahawa beliau dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju mengenai pelan peralihan kuasa.

Menurut Anwar, spekulasi pertelingkahannya dengan Dr Mahathir datangnya daripada laporan tidak tepat pihak akhbar dan khabar angin media sosial.

“Saya ingin mengulangi bahawa tidak wujud sebarang pertelingkahan antara saya dan Tun (Dr Mahathir) tentang soal peralihan kuasa.

“Kita telah bersetuju berkenaan proses dan pelan transisi tersebut, dan juga turut dimuafakati di peringkat Pakatan Harapan,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72768

Posted by on Jan 7 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE