Azmin: Ambil pandangan rakyat dalam menggubal dasar PBT

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa pihak berkusa tempatan (PBT) agar mengambil peduli pandangan orang ramai dalam menggubal dasar mereka.

Menurutnya, pendekatan tersebut membolehkan orang ramai untuk berasa yang mereka dilibatkan dalam pembangunan kawasan setempat.

“Kita harus menerima hakikat ini, masyarakat semakin canggih khususnya golongan milenium yang menuntut perkhidmatan perbandaran berdaya saing dalam pelbagai aspek termasuk memelihara alam sekitar, pengukuhan teknologi hijau, prasarana yang mesra penggunan dan mesra orang kelainan upaya (OKU) serta tempat riadah juga pengukuhan budaya dan ilmu.

“Pendekatan paling penting menjadi asas terhadap pentadbiran dalam menggubal dasar, maka PBT di Selangor harus mengambil pendekatan untuk membabitkan penyertaan penduduk dan pembayar cukai supaya mereka menjadi sebahagian daripada pembangunan kawasan berkenaan,” katanya dalam Majlis Apreasiasi Warga Kerja Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam, lapor Selangorkini.

Katanya lagi, pembangunan yang dilaksanakan PBT juga perlulah dibuat secara menyeluruh.

“Pembangunan hari ini bukan sahaja dalam konteks fizikal dan ekonomi tetapi menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dan PBT untuk turut meneliti aspek kemanusiaan seperti kanak-kanak, pemakanan, wanita serta beberapa aspek lain,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71473

Posted by on Mar 16 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE