Azmin bertolak ansur dengan PAS demi rakyat

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan hubungan dengan PAS di Selangor sehingga pilihan raya umum akan datang kerana mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Memetik wawancara dengan Nanyang Siang Pau yang diterjemahkan Malaysiakini, timbalan presiden KEADILAN itu berkata beliau akan bertolak ansur dengan parti tersebut sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Saya bertolak ansur dengan PAS bukan kerana saya suka Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi kerana mereka tidak menyimpang daripada dasar-dasar (kerajaan negeri), yang melayan rakyat secara adil,” katanya.

“Susulan perkembangan ini, kami jangkakan lebih banyak tiga penjuru (di Selangor) dan kami sedia untuk itu. Berdasarkan rekod dan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, kita akan dapat terus berkuasa di Selangor,” katanya.

PAS kini berada dalam Gagasan Sejahtera bersama dua parti mikro iaitu Parti Cinta Malaysia dan Ikatan selepas memutuskan hubungan dengan DAP dan KEADILAN.

Ia pernah bersama DAP dan KEADILAN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dan memerintah Pulau Pinang serta Selangor sebagai Pakatan Rakyat.

Pembubaran Pakatan Rakyat membuka pelbagai perbincangan tentang kedudukan kerajaan Selangor yang diketuai KEADILAN
dengan sokongan DAP dan PAS yang tidak lagi berada dalam satu blok politik yang sama.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71341

Posted by on Feb 14 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE