Azmin desak penyangak dinamakan DoJ diseret ke mahkamah

KUALA LUMPUR 19 JUN: Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa anggota-anggota Parlimen daripada Pakatan Harapan dan BN untuk memenuhi sumpah tugas mereka dengan bersama-sama mendesak agar penyangak-penyangak yang dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam pemfailan mereka diseret ke mahkamah.

Menurutnya, tanggungjawab tersebut perlu dipenuhi dalam memikul amanah yang diberikan rakyat.

“Saya menyeru semua penggubal undang-undang tidak kira apa jua kecenderungan politik, kesekutuan atau parti mereka agar menegaskan pendirian secara bersama dengan dipandu sumpah jawatan sebagai anggota Parlimen supaya menuntut agar kleptokrat ini tanpa mengira siapa atau di mana mereka berada, diseret ke muka pengadilan.

“Tanggungjawab kita adalah memenuhi amanah rakyat dan bukan mengkhianatinya. Tanggungjawab kita adalah berkhidmat kepada negara dan memelihara kekayaan negara, dan bukan membenarkan ia dijarah atau menutup mata begitu sahaja apabila ada pihak berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Azmin turut membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memandang remeh pemfailan tersebut.

Menurut Azmin, kenyataan Khalid yang menganggap pemfailan tersebut sebagai proses sivil semata-mata seolah-olah satu cubaan untuk melindungi individu dan pemimpin yang rasuah daripada siasatan dan dakwaan.

“Dalam hal ini, ketua polis negara sangatlah mengarut apabila mencadangkan hal ini sebagai proses sivil semata-mata.

“Umu mengetahui rampasan harta dalam kes ini adalah sebahagian daripada siasatan jenayah pencabulan undang-undang Amerika Syarikat.

“Aset yang cuba dirampas DoJ disyaki diperolehi daripada aktiviti jenayah berkaitan konspirasi antarabangsa untuk membersihkan wang yang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Dalam pemfailan mahkamah DoJ di Amerika Syarikat Jumaat lalu, agensi tersebut mendakwa sebahagian daripada USD620 juta yang dikatakan dipulangkan oleh pegawai tertinggi Malaysia yang dikenali sebagai MO1 kepada “penderma” digunakan untuk membeli rantai dan loket permata merah jambu 22 karat buat isteri MO1 yang bernilai USD27.3 juta.

DoJ juga mendedahkan hartawan Jho Low membeli 27 bentuk rantai emas 18 karat dan gelang kepada isteri MO1 yang keseluruhannya bernilai USD1.3 juta.

Tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenal pasti MO1 sebagai Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun Abdul Rahman menegaskan nama Najib tidak disebut dalam dokumen DoJ dan ia menunjukkan perdana menteri tidak tertakluk kepada siasatan AS.

Najib setakat ini menafikan beliau menyalahgunakan dana awam, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan perdana menteri tidak terbabit dalam sebarang salah laku.

Najib dan Apandi mendakwa dana bernilai USD681 juta itu adalah derma daripada seorang bangsawan Arab Saudi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70124

Posted by on Jun 19 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE