Azmin kesal PAS serang Anwar

Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang mempersoalkan sama ada Anwar Ibrahim sesuai menjadi perdana menteri kerana pernah dipenjarakan.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Azmin menegaskan bahawa Anwar telah menerima pengampunan diraja.

“Umum sedia maklum bahawa pertuduhan terhadap Anwar sejak 1998 itu merupakan pertuduhan politik yang akhirnya membawa kepada pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita mungkin mempunyai pandangan politik berbeza tetapi kita harus berpegang kepada fakta dan kenyataan bahawa kemelut ini telah diselesaikan dengan baik demi kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kuala Lumpur semalam.

Takiyuddin sewaktu berkempen di Sandakan baru baru ini mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Mohamed Azmin mengingatkan PAS untuk menyelesaikan masalah dalaman parti itu tanpa mengheret  pihak lain, termasuk isu kartel dedak yang didedahkan baru-baru ini.

“Saya bukan ahli PAS. Saya tidak terlibat dengan apa yang berlaku dalam PAS. Saya kira itu masalah dalaman mereka dan mereka perlu selesaikan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Zaharudin yang juga bekas anggota Majlis Syura Ulama PAS mendedahkan wujudnya ‘kartel dedak’ dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam parti itu yang didakwa menerima dana Umno.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73465

Posted by on May 15 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE