Azmin yakin dengan pasukan Pakatan Harapan Selangor

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan keyakinannya dengan barisan kepimpinan Pakatan Harapan Selangor yang baru dibentuk hari ini.

Timbalan Presiden KEADILAN itu optimis yang pasukan itu mampu untuk meneruskan kesinambungan dalam mendahulukan kepentingan rakyat dalam pentadbiran negeri.

“Saya berkeyakinan bahawa kepimpinan Pakatan Harapan Selangor akan terus maju ke hadapan dengan tekad untuk mempertahankan kerajaan Selangor demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Mesyuarat juga telah membincangkan secara dasar tentang manifesto dan gerak kerja pilihan raya termasuk program-program penerangan yang akan memberikan pencerahan dan maklumat kepada rakyat mengenai kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor,” tambah Azmin, memetik laporan Malaysiakini.

Beliau yang juga merupakan pengerusi HARAPAN Selangor turut mengumumkan barisan kepimpinan gabungan itu dengan nisbah 4:3:3:2 di antara empat parti komponennya.

Empat jawatan diisi oleh pemimpin KEADILAN manakala pemimpin BERSATU diberikan dua jawatan dalam struktur kepimpinan baru itu.

Azmin melantik empat timbalan pengerusi yang terdiri daripada Tony Pua (DAP), Ir. Izham Hashim (AMANAH), Datuk Abdul Rashid Asari (BERSATU) dan Sivarasa Rasiah (KEADILAN).

Selain Azmin dan Sivarasa, pemimpin KEADILAN dalam barisan baru itu ialah anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin sebagai setiausaha dan ADUN Seri Andalas, Xavier Jeyakumar selaku pengarah pilihan raya.

Sementara itu, speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh dari DAP dilantik sebagai bendahari manakala Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo sebagai pengerusi biro undang-undang.

Dari parti AMANAH, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim dilantik sebagai penolong setiausaha dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dipilih sebagai pengerusi jawatankuasa manifesto.

Anggota majlis kepimpinan BERSATU, Datuk Dr Sukiman Sarmani pula dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Barisan kepimpinan baru itu diumumkan selepas mesyuarat antara pemimpin HARAPAN Selangor hari ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70478

Posted by on Sep 8 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE