BA100 akan diperkenal untuk tangani kos hidup

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) sedang memperhalusi cadangan pelaksanaan Program Barang Asas 100 (BA100) bagi mengurangkan kos sara hidup.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mempengerusikan MTSHN itu berkata pelaksanaan BA100 akan melibatkan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa).

Menurutnya, koperasi dengan keanggotan seramai 6.1 juta orang setakat 30 Jun 2018 itu dapat memainkan peranan penting melalui program pembangunan pemborongan, peruncitan dan pertanian.

“Melalui pemborongan dan peruncitan, ia melibatkan pengukuhan dan pemantapan pusat pengedaran koperasi. Peruncitan melibatkan pembangunan produk koperasi. Pertanian pula melibatkan penternakan, perikanan, sayur dan buah dan input pertanian,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga MTSHN hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Saifuddin Nasution menjelaskan BA100 adalah 100 barang asas termasuk tepung, gula, beras serta barangan yang biasa dibeli orang ramai.

“Ideanya adalah jika mereka boleh senaraikan 100 barang asas ini dan menguasai ekosistem yang meliputi pemborongan, pengedaran dan peruncitan dan mempunyai kedai, maka 100 barang ini dapat dijual di kedai mereka dengan harga yang lebih rendah,” katanya.

Dr Wan Azizah turut mengumumkan pelantikan lima anggota baharu MTSHN iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ignatius Darrel Leiking; Peguam Negara Tommy Thomas; Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) Surina Shukri; dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73666

Posted by on Jun 25 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE