Bahas Statut Rom di Parlimen

Keputusan kerajaan untuk menarik diri daripada meratifikasi Statute Rom perlu dibahaskan di Parlimen memandang terdapat salah faham terhadap undang-undang tersebut.

Parlimen adalah tempat terbaik untuk isu tersebut dibahaskan oleh anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Malah perbahasan akan lebih berkesan sekiranya perkara tersebut dibawa ke jawatankuasa pilihan berkaitan.

Saya dulu pernah ke The Hague, Belanda untuk mewakili negara bersama menteri undang-undang, peguam negara dan beberapa anggota parlimen pembangkang serta Kerajaan.

Kami mendapat penjelasan langsung daripada Presiden Hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) iaitu seorang profesor dari Korea Selatan, ketua pendakwa raya, wakil dari negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan – seperti Norway dan Jepun – serta pakar undang-undang jenayah antarabangsa.

Malah kabinet kepimpinan Najib Razak sendiri pernah bersetuju untuk meratifikasi Statut Rom – kalau tak salah saya – sekitar 2011.

Hal ini boleh dirujuk kepada rekod mesyuarat kabinet.

Untuk rekod saya bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika memberi penjelasan mengenai Statut Rom serta rasional di sebalik keputusan semalam (5 April 2019)

Penjelasan perdana menteri mengenai undang-undang tersebut memang tepat. Ia sama seperti taklimat yang diberikan kepada saya semasa di The Hague.

Saya akui undang-undang jenayah antarabangsa – apatah lagi undang-undang mengenai ICC – adalah perkara baru untuk kita di Malaysia.

Untuk pengetahuan, salah seorang pakar undang-undang berkaitan ICC ialah rakyat Malaysia yang banyak menjadi peguam bela di ICC bersama suaminya, seorang peguam Britain di London.

Dia ialah mantan presiden Persatuan Peguam ICC.

Saya percaya mereka boleh dijemput oleh kerajaan Malaysia untuk memahamkan kita – terutama pemimpin kerajaan dan pembangkang – mengenai kedudukan sebenar Statut Rom, ICC jenayah kemanusiaan dan implikasinya kepada Malaysia selepas ia diratifikasi.

Saya yakin perbahasan di parlimen akan menjadi lebih berkesan dan kerajaan boleh mengambil keputusan berdasarkan hasil perbahasan tersebut.
Yusmadi Yusoff ialah anggota Dewan Negara

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73265

Posted by on Apr 8 2019. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE