Bajet 2018 bajet cerekarama

Bajet 2018 dengan temanya yang merepek panjang, merupakan bajet berunsur cerekarama yang terhebat dalam sejarah negara dan oleh itu, layak menjadi pemenang anugerah cerekarama terbaik Malaysia!

Ada beberapa sebab mengapa saya katakan demikian.

Pertama, pelbagai peruntukan dan pemberian diumumkan dengan sepintas lalu dan penuh bangga namun dari manakah Datuk Seri Najib Razak akan mencekau wang defisit sejumlah RM42.35 bilion akibat daripada unjuran perbelanjaan Bajet 2018 sebanyak RM282.25 bilion yang melebihi hasil sebanyak RM239.86 bilion?

Sudah tentulah dengan meminjam atau berhutang kan. Namun umum mengetahui bahawa hutang negara sudah tinggi iaitu hampir mencecah siling nisbah hutang-KDNK sebanyak 55 peratus.

Itu belum dikira hutang kontingen yang tidak dimasukkan dalam bajet kerajaan seperti 1MDB, MRT dan Felda.

Apakah tambahan hutang RM42.35 bilion sangat perlu? Sudahkah kerajaan mengambilkira kadar faedah yang terpaksa dibayar ke atas hutang itu yang dianggarkan berjumlah RM31 bilion atau lebih kurang 15 peratus daripada perbelanjaan operasi negara?

Apakah rakyat kini dicukai untuk membayar hutang atau untuk mendapat manfaat daripada cukai tersebut?

Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang dan Presiden Pakatan Harapan, dalam ucapan perbahasan beliau pada 30 Oktober, RM31 bilion itu cukup untuk membina 60 buah hospital dalam setahun!

Tanya beliau kepada Dewan Rakyat, “apakah harapan rakyat Malaysia terhadap pembentangan bajet 2018 ini? Jawapannya mudah; rakyat mengharapkan bajet ini mampu merawat derita yang mereka tanggung sejak 2009”.

Namun hakikatnya, ramai rakyat yang terhimpit akibat kenaikan harga barang dan harga minyak. Subsidi dihapuskan, kesihatan semakin mahal dan pendidikan didagangkan.

“Rakyat tidak mampu menyediakan makanan berkualiti untuk keluarga terutama untuk anak-anak yang sedang membesar,” kata Wan Azizah.

Dalam masa yang sama, mengapakah kerajaan tidak meletakkan keutamaan kepada pembanterasan rasuah, pembaziran dan ketirisan sebagai langkah penjimatan penting kepada perbelanjaan yang terus mengembung? Saya langsung tidak nampak komitmen kerajaan dalam hal ini.

Pakatan Harapan sebaliknya telah membentangkan Belanjawan 2018 yang dengan jelas meletakkan asas prinsipnya kepada premis ini dan menolak cukai regresif GST sebagai langkah penampungan perbelanjaan negara malah dengan berani meletakkan angka RM20 bilion sebagai penjimatan daripada ketirisan dan rasuah termasuk memotong peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang diketahui sangat kembung.

Menurut Wan Azizah, Pakatan Harapan secara bersungguh-sungguh mengetengahkan idea-idea fiskal, kewangan dan ekonomi dalam kerangka mengurus dan membangunkan negara yang bebas dari amalan kleptokrasi, rasuah, ketirisan, pembaziran, salah guna kuasa, penyiasatan terpilih, pendakwaan terpilih dan penghakisan demokrasi berparlimen.

“Pakatan Harapan telah menggariskan dasar-dasar sosioekonomi, pembangunan ekonomi serta perindustrian dan perdagangan yang menyentuh langsung dalam usaha merawat derita rakyat lantaran salah urus dan tadbir kewangan negara oleh Barisan Nasional” kata Wan Azizah.

Lantas katanya lagi, Pakatan Harapan telah mengumumkan 10 perkara berikut dalam belanjawannya iaitu hapuskan GST, hapuskan tol, pendidikan percuma untuk semua, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 di seluruh negara, rumah mampu milik, dasar hapus rasuah, hapus campur tangan politik dalam Felda, menaikkan royalti minyak 20 peratus kepada negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, cuti bersalin 120 hari dan dana RM15 bilion untuk pembangunan Sabah dan Sarawak.

Kedua, terdapat penurunan peruntukan beberapa perkara penting jika dibandingkan dengan Bajet tahun lalu walaupun pengumuman yang dibuat oleh Najib kedengaran sangat hebat. Contohnya, perbelanjaan untuk pendidikan dan latihan yang diumumkan peruntukan sebanyak RM5.2 bilion. Namun apabila disemak peruntukan Bajet tahun lalu, ia sebenarnya lebih tinggi, iaitu RM5.9 bilion. Bermakna ada penurunan peruntukan dalam Bajet tahun ini.

Ketiga, jurang perbezaan peruntukan yang ketara antara pemberian kepada rakyat secara langsung dan dana yang diperuntukkan kepada projek atau inisiatif tertentu.

Contohnya, walaupun diumumkan bayaran khas bagi penjawat awam sebanyak RM1,500 bagi penjawat awam, bayaran “one-off” sebanyak RM1,500 kepada imam, bilal, guru KAFA dan takmir serta elaun bagi warga emas dan OKU dinaikkan kepada RM350 and RM100 masing-masing, namun jumlah peruntukan bagi pemberian-pemberian itu adalah kecil jika dibandingkan dengan peruntukan kepada misalnya Dana Pembangunan Pengangkutan dengan peruntukan RM3 bilion.

Siapakah yang mendapat faedah daripada dana begini? Sudah tentu bukan rakyat biasa.

Ketiga, isu utama rakyat iaitu kos sara hidup jelas tidak ditangani oleh Bajet 2018. Antara sebab utama kenaikan kos sara hidup ialah kenaikan harga barang, cukai GST dan gaji yang rendah. Apakah Bajet 2018 mengutarakan dasar untuk menangani kos sara hidup selain daripada pemberian segera seperti BR1M dan bayaran khas “one-off”?

Pada pendapat Wan Azizah, pelaksanaan GST adalah semata-mata untuk menampung kekurangan dana kerajaan akibat pemborosan, rasuah dan ketirisan. Maka seluruh rakyat termasuk fakir miskin, penerima BR1M dan asnaf zakat pun terpaksa membayar GST. Katanya, “tidak semua rakyat menerima BR1M, tetapi semua rakyat dipaksa membayar GST”.

Sedang Belanjawan Pakatan Harapan mengesyorkan pemansuhan GST dan memperincikan kaedah menampung kekurangan hasil akibat daripadanya, Bajet 2018 masih mengekalkan GST malah memberikan pelepasan kepada perkara-perkara yang tidak meringankan beban rakyat secara langsung.

Contohnya, pelepasan GST ke atas operator kapal persiaran (cruiser) dan ke atas pengimportan big ticket items seperti kapal terbang dan kapal oleh syarikat penerbangan dan perkapalan. Apakah faedah pelepasan itu akan sampai kepada rakyat biasa yang terhimpit dengan derita kehidupan?

Keempat, berkait dengan gaji yang rendah dan lambakan pekerja asing, amatlah jelas bahawa Bajet 2018 juga tidak menyentuh tentang kenaikan gaji minimum. Kadar semasa sebanyak RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak tidak boleh lagi dianggap sebagai jumlah sara hidup yang wajar di Malaysia. Belanjawan Pakatan Harapan meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 untuk seluruh negara. Inilah kadar yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Kesimpulannya, Bajet 2018 berunsur bajet cerekarama kerana persembahannya yang bersandarkan janji-janji yang tidak ditepati, sindiran yang angkuh dan angan-angan mat jenin yang tidak berpijak kepada bumi nyata. Bajet yang juga boleh dikatakan bajet bangsawan yang gah lagi hebat tetapi gagal dan pincang dalam mengeluarkan rakyat dan negara daripada gejala najis rasuah, pemborosan dan kleptokrasi.

Justeru, akuilah bahawa Bajet 2018 yang dikatakan Ibu Segala Bajet itu hanyalah sebuah bajet cerekarama.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon menolak jauh ke tepi Bajet 2018!

 

Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan KEADILAN

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70801

Posted by on Oct 31 2017. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE