Bantuan RM120 juta pada Syabas tak selesai masalah air- Khalid

Kerajaan Selangor mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang meluluskan bantuan kewangan RM120 juta kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) walaupun terbukti syarikat konsesi berkenaan gagal menguruskan bekalan air bersih dan sumber air secara profesional dan berkesan.

Kerajaan Pusat sepatutnya menyokong usaha penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor yang memberikan penyelesaian secara menyeluruh yang akan memastikan perkhidmatan air diuruskan dengan profesional, berhemah dan cermat oleh kerajaan negeri.

Sejarah telah membuktikan walaupun SYABAS menerima pinjaman mudah (soft loan) daripada kerajaan Pusat tetapi syarikat itu yang menerima konsesi selama 30 tahun untuk menguruskan air di Lembah Klang tetap gagal menurunkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) yang ketika ini pada paras 33 %.

Dalam Perjanjian Penswastaan Air pada 2004 antara tiga pihak iaitu SYABAS, kerajaan negeri dan Pusat, SYABAS perlu mematuhi perjanjian dengan menurunkan NRW kepada 19.98 % pada 2011. Bagaimanapun, selepas membelanjakan RM1,169.64 juta,-yang jauh melebihi jumlah yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi- kadar NRW masih pada paras 33%.

Kegagalan menurunkan NRW kepada 19.98% seperti dijanjikan dalam Perjanjian Konsesi sebenarnya bukan berpunca dari kekurangan peruntukan tetapi kerana kelemahan SYABAS merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan.

Kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 juta liter sehari (JLH) yang mana jumlah ini dapat menampung permintaan air hingga 2017.

Sekiranya Najib berdegil untuk meneruskan pinjaman RM120 juta, Kerajaan Selangor akan meminta SYABAS memberikan secara terperinci bentuk-bentuk perbelanjaan yang akan dibelanjakan menggunakan dana itu bagi mengelak penyelewengan.

Tindakan Najib memberikan bantuan dana ini membuktikan kerajaan Pusat sebenarnya tidak berminat membantu kerajaan Selangor mengambilalih air demi kebajikan rakyat. Najib lebih mengutamakan syarikat konsesi yang dikuasai kroni UMNO yang selama ini berusaha menaikkan kadar tarif air tetapi berjaya dihalang oleh kerajaan Selangor.

Kerajaan Selangor sentiasa mengutamakan kebajikan serta kemampanan generasi sekarang dan  akan datang supaya tidak dibebani  dengan pelbagai hutang  tidak perlu.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=44295

Posted by on Feb 3 2013. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google