Batalkan 300,000 saman, wang 10,000 pembayar AES mesti dipulang

(Oleh Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR 18 Dis: 300,000 saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) perlu dibatalkan dan saman yang dibayar oleh 10,000 pengguna jalan raya wajib dipulang jika kerajaan ikhlas mahu menghapuskan sistem tersebut.

Ronnie (kiri) bersama Exco Yaakob Sapari di lokasi AES di km 6.6 Jalan Kajang Puchong (SKVE).

“Wang saman yang dibayar 10,000 rakyat mesti dipulangkan semula. Ini tak adil pada mereka. 300,000 saman yang dikeluarkan mesti dibatal serta merta,” kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu kepada Keadilan Daily.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran berkata, Kerajaan Pusat berdolak dalik dan masih menipu jika hanya ‘mempertimbang untuk membekukan’ AES.

“Mempertimbang atau membeku hanyalah tempoh untuk tangguh. Sampai bila? Sampai pilihan raya? Kalau ini benar, maka, ia hanya langkah sementara untuk mengelak Barisan Nasional kalah Pilihan Raya Umum ke-13.

“Majoriti rakyat tak suka, sebab itu dia (kerajaan) tangguhkan?” soalnya.

“Dia (Kerajaan Pusat) tak jujur. Saya yakin mereka akan kuatkuasa semula sistem AES jika menang pilihan raya. Hanya satu cara, kalahkan mereka (BN),” kata Ronnie.

Jelasnya, menurut undang-undang kerajaan tempatan, ‘pengusaha’ AES telah melanggar Akta Parit, Jalan dan Saliran.

Merujuk Subseksyen 2(1) Akta 172 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Kebenaran Merancang (KM) ditakrifkan sebagai ‘kebenaran yang diberikan, dengan atau tanpa syarat, untuk menjalankan pemajuan’.

“Mereka (AES) tak mohon, jadi tak dapat kelulusan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). AES ialah struktur haram. Tak kira sama ada mereka bina atas premis sendiri, tanah sendiri atau tanah sewa, dia (AES) mesti dapat Kebenaran Merancang.

“Ini sangat jelas. Tiada ‘grey area’,” tegas Ronnie.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=41335

Posted by on Dec 18 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google