Bayar FBC Media RM57 juta bazir dana awam

KUALA LUMPUR: Pakar perunding perhubungan awam mendakwa tindakan perdana menteri menggunakan FBC Media untuk menggilap imej Malaysia di luar negara, sebagai satu penipuan yang jelas dan pembaziran dana awam.

Simon Anholt, yang mempelopori asas penjenamaan negara sebagai satu kaedah mengukur, membina dan mengurus reputasi sebuah negara, berkata, meskipun perhubungan awam amat diperlukan dalam sektor swasta, ia amat dicurigai apabila sesebuah negara juga boleh menaikkan imejnya menggunakan cara sama.

“Adalah bukti yang cukup banyak di sekeliling kita yang menunjukkan ia merupakan pembaziran wang pembayar cukai,” katanya kepada Radio BFM dalam satu temubual pagi semalam.

“Pertama sekali, negara-negara yang cenderung untuk menghabiskan banyak wang untuk kempen perhubungan awam bagi membaiki imej mereka cenderung bersikap seperti negara-negara penyangak.

“Jika anda melihat negara-negara yang telah membelanjakan paling banyak wang pada kempen perhubungan awam, mereka adalah tempat yang paling tidak disukai dan ia tidak boleh membaiki imej mereka langsung,” kata beliau.

Pada pertengahan Ogos lalu, siasatan akhbar United Kingdom, The Independent mengesahkan kerajaan Malaysia memperuntukkan RM57 juta kepada FBC Media (UK) untuk “Kempen Strategi Komunikasi Global” pada 2008 dan 2009.

Satu rencana ditulis Ian Burrel dan Martin Hickman pada 17 Ogos lalu, mengupas isu penggantungan syarikat produksi berkenaan yang memperoleh keuntungan jutaan ringgit daripada kerajaan Malaysia bagi menghasikan dokumentari untuk tujuan penyiaran kepada British Broadcasting Corporation (BBC).

BBC telah menggantung semua program FBC, syarikat produksi berpusat di London itu, yang sejak 2009 telah menghasilkan sekurang-kurangnya 4 dokumentari untuk BBC yang berkaitan Malaysia.

Ia termasuk isu-isu kontroversi seperti industri minyak sawit dan pemuliharaan hutan serta isu orang asli.

Sebelum ini, KEADILAN mempersoalkan tindakan kerajaan membelanjakan sebanyak RM1.5 juta untuk menempah iklan yang memaparkan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah mansor dalam sebuah akhbar Amerika Syarikat, New York Times.

Iklan itu disahkan sendiri oleh Pengarah Eksekutif New York Times Dianne McNulty ditempah oleh sebuah agensi pengiklanan bagi pihak kerajaan Malaysia.

KEADILAN mempersoal bagaimana wang yang didakwa berjumlah sebanyak itu diperolehi untuk membiayai pengiklanan dua mukasurat penuh dalam akhbar itu, semata-mata bagi meningkatkan imej Rosmah.

Iklan tersebut memaparkan ucapan  tahniah kepada Rosmah yang digelar  “Wanita Pertama Malaysia”- yang dirampas dari gelaran Permaisuri Agong- sempena  Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20831

Posted by on Sep 23 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE