Belanjawan Selangor 2020 terima RM2.33 bilion

Belanjawan Selangor 2020 menerima peruntukan sebanyak RM2.33 billion, umum Menteri Besar, Amirudin Shari petang ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.2 bilion atau 51.44 peratus disalurkan untuk perbelanjaan mengurus.

Sementara, RM1.133 bilion atau 48.56 peratus diperuntukkan kerajaan negeri untuk perbelanjaan pembangunan.

“Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan, maka kerajaan negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan tahun 2020 berjumlah RM2.33 bilion bagi Belanjawan Selangor 2020.

“Daripada jumlah tersebut, RM1.2 bilion atau 51.44 peratus diperuntukkan bagi belanja mengurus dan RM1.133 bilion atau 48.56 peratus untuk belanja pembangunan,” kata Amirudin dalam ucapan pembentangan Belanjawan Selangor 2020, di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menjelang 2030, Amirudin berkata Selangor berikrar untuk menyumbang sejumlah 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berbanding 23 peratus ketika ini.

Menurut Amirudin, belanjawan ini akan dilaksanakan menerusi lima strategi iaitu Menjana Pertumbuhan dan Pemberdayaan Ekonomi Negeri, Merencana Agenda Pendidikan Unggul, Mewujudkan Selangor yang Selamat, Sihat dan Sejahtera, Menjamin Kelestarian Alam Sekitar dan Menjuarai Kemampanan Sosial.

Menerusi peruntukan belanjawan itu, defisit berjumlah RM133 juta dijangka dicatatkan berpunca daripada peruntukan pembangunan yang substantif bagi memenuhi keperluan pembangunan mampan.

Katanya, jumlah defisit berkenaan lebih rendah berbanding yang dicatatkan pada tahun 2019, iaitu RM 360 juta.

“Pengalaman belanjawan yang lalu membuktikan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti dan menutup ruang pembaziran serta ketirisan telah berjaya mengurangkan belanjawan defisit kepada satu jumlah yang munasabah,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM2.56 bilion untuk Belanjawan Selangor 2019.

 Menerusi peruntukan itu, sebanyak RM1.28 bilion atau 50 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan 50 peratus lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74226

Posted by on Nov 1 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE