BERSIH 2.0 beri ‘markah lulus’ kepada HARAPAN

Menyedari ini hanya tahun pertama dari tempoh lima tahun pentadbiran Pakatan Harapan dalam penggal pertama, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menganggap kerajaan telah pun melakukan pembaharuan yang ‘wajar dipuji’.

Dalam pembentangan Kad Laporan Pakatan Harapan terhadap Reformasi Pilihan Raya, Politik dan Institusi di Petaling Jaya hari ini, pengerusinya, Thomas Fann memberikan markah 36.4 peratus kepada kerajaan baru ini, namun dalam jawapan kepada soalan wartawan, Thomas mengatakan Harapan ‘lulus’.

“Bagaimanapun, kita berharap pada tarikh ini tahun depan, prestasi ini dapat ditingkatkan lagi, sekurang-kurangnya ke tahap 60 atau 70 peratus,” katanya.

Thomas juga menyatakan kerajaan berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran berkenaan, melihat kepada reformasi Parlimen dibuat kerajaan, terutamanya kesungguhan yang ditunjukkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof.

“Parlimen di bawah kepimpinan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff sedang melalui reformasi penting seperti penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen, Kaukus, dan institusi yang lebih terbuka di mana orang awam boleh terlibat,” jelasnya.

Laporan tersebut menumpukan kepada enam janji dan 44 cabangnya berkaitan reformasi institusi, seperti yang terkandung dalam Buku Harapan. Janji-janji tersebut dibahagikan kepada pecahan: dipenuhi, dipenuhi sebahagian, dalam proses, hampir tidak dipenuhi, tidak dipenuhi, dan dimungkiri.

Keseluruhannya, Bersih 2.0 berpuas hati dengan reformasi pilihan raya dan parlimen bagi tahun pertama, terutamanya dengan kepimpinan baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah memulakan proses pembersihan daftar pemilih, membaiki perjalanan pilihan raya, membenarkan pemantauan, dan libat urus lebih baik dengan pihak berkepentingan seperti parti politik dan masyarakat awam.

Bersih 2.0 adalah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik ditubuhkan secara rasmi pada November 2006 bertujuan melaksanakan reformasi pilihan raya di Malaysia ke arah yang lebih adil, bersih dan terbuka.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73442

Posted by on May 9 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE