Bersih: Arahan tertinggi Umno punca tindakan polis- Anwar

(Oleh: Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, berhubung kenyataannya mengenai Perhimpunan Bersih 2.0.

Anwar ditemani isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Ismail, pimpinan KEADILAN dan peguam dari lawyers For Liberty (LFL), tiba di IPD berkenaan untuk dirakam percakapannya pada jam 5 petang.

Ketika ditemui pemberita selepas keterangannya diambil, Anwar berkata arahan pimpinan atasan Umno punca polis tidak berlaku profesional dengan menekan pimpinan Pakatan Rakyat berhubung penganjuran perhimpunan 9 Julai ini.

“Inilah satu negara di mana keputusan mengadakan pilihan raya bebas dan adil dikecam media milik Umno.

“Saya yakin dan percaya Polis tidak akan bertindak menghalang himpunan ini jika tidak mendapat arahan pimpinan atasan Umno,” kata Anwar

Kata Anwar, ia terbukti apabila polis membisu mengenai tindak tanduk terbaru Pemuda Umno dan Perkasa yang mengancam untuk membakar Ibu Pejabat KEADILAN, malam tadi.

Namun pada masa yang sama, kata Anwar, polis menangkap aktivis Bersih dan pimpinan Pakatan rakyat untuk mengganggu hasrat rakyat yang mahu berhimpun secara aman, pada 9 Julai.

Menurut Anwar, beliau menjangkakan lebih ramai pemimpin Bersih 2.0 ditahan sebelum perhimpunan itu dianjurkan.

Ketua Pembangkang ini juga tidak menolak penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan bagi melindungi kepentingan penguasa Umno-BN.

“Pemimpin yang korup dan zalim ini akan mengunakan apa sahaja alasan bagi mengekalkan pegangan mereka kepada kuasa,” tegas Anwar.

Anwar menegaskan bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut menyeru pihak berkuasa supaya membenarkan perhimpunan aman itu dijalankan.

Tegasnya, orang ramai mempunyai hak berhimpun dan menyuarakan pandangan, seperti mana yang termaktub dalam Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan dan Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat

“Suhakam juga sudah membuat kenyataan bahawa himpunan ini harus diteruskan kerana ia selaras dengan hak kebebasan rakyat untuk berhimpunĀ  sebagaimana yang dijamin perlembagaan,” katanya.

Selain Anwar, dua Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, N Surendran, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan peguam, Fadiah Nadwa Fikri turut diambil keterangan oleh polis hari ini.

 

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=16140

Posted by on Jun 28 2011. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE