Bersih dedah kes daftar tanpa izin, rekod hilang & pengundi hantu

KUALA LUMPUR 14 MAC: Bersih 2.0 hari ini mendedahkan terdapat lapan kes daftar pemilih meragukan yang dilapor orang awam dalam tempoh dua bulan ini.

Lapan kes itu termasuk lima individu yang terdaftar sebagai pengundi tanpa izin atau pengetahuan mereka di mana tiga daripada mereka didaftarkan di kawasan undi bukan tempat kediaman mereka.

Lapan kes ini dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada minggu ini namun masih belum ada respons daripada SPR, kata Maria Chin.

Jelas Maria, dalam satu kes ada individu diberitahu oleh SPR bahawa pihak SPR tidak pernah menerima borang pendaftaran pengundinya walaupun telah mendaftarkan diri melalui sebuah konsulat luar negara Malaysia pada 2012, justeru itu beliau tidak layak untuk mengundi dalam PRU 13.

Daripada lapan kes ini tegas Maria, ada individu lain pula tidak berjaya mencari rekod pendaftarannya dalam talian sekaligus individu terbabit juga tidak boleh mengundi.

Tambahnya, ada juga kes di mana salah seorang pengadu memberitahu terdapat pengundi hantu yang didaftar menggunakan alamat kediamannya.

“Lapan kes ini dilaporkan dalam tempoh dua bulan, bukanlah jumlah yang sedikit, dan mungkin menandakan bahawa kes-kes seperti ini lebih banyak lagi, memandangkan kebimbangan yang telah diluahkan sebelum ini terhadap kewibawaan daftar pemilih.

“Malah pihak pengadu telah berjumpa sendiri dengan SPR,” katanya pada sidang media hari ini, dipetik Harakah Daily.

Tegas Maria, walaupun kenyataan SPR yang menjamin kewibawaan daftar pemilih, namun Malaysia masih lagi ada ruang untuk memperbaiki keadaan.

Katanya, Bersih 2.0 masih bimbang berhubung kesan daftar pemilih meragukan ke atas pilihan raya akan datang dan merasakan tidak ada apa pembaharuan yang dilakukan SPR sebagaimana dituntut oleh jawatankuasa itu.

“Tiap-tiap suku tahun pertama SPR keluarkan atau bersihkan daftar pemilih kemudian masukkan daftar baru. Malangnya kad pengenalan tidak sama, kad lama pula digunakan, kekeliruan gender masih ada orang yang sangat tua, askar tentera yang sudah pencen pun masih daftar undi pos, banyak lagi yang belum bersih,” kata Maria.

Justeru katanya, Bersih masih sangsi dengan ketelusan SPR dalam menjalankan pilihan raya terdekat ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=47369

Posted by on Mar 14 2013. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google