BN Galak Memainkan Fitnah Berangkai Isu Tanah

Kesepakatan Umno BN dengan pasukan Tan Sri Khalid Ibrahim jelas melalui ‘penyatuan fitnah berangkai’ mereka sejak kelmarin.

Melalui Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Umno Selangor dan Tan Sri Khalid Ibrahim serta Faekah Husin, mereka galak memainkan kembali isu tanah di Ijok menjelang pilihan raya umum ke-14.

Saya terfikir, mungkinkah benar dakwaan yang mengatakan Khalid perlu melepasi petunjuk-petunjuk prestasi utama (KPI) tertentu dalam menyerang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum boleh bersama BN semula?

Ini kerana, perkara yang dibangkitkan Khalid dan pegawainya agak luar biasa tumpuannya.

Persoalannya ialah kenapa perkara yang boleh diselesaikan lebih awal perlu ditangguh?

Mengapa perlu dibiarkan peneroka terseksa dan ternanti janji mereka dipenuhi daripada satu menteri besar ke menteri besar yang lain?

Sebetulnya, terlepas peluang untuk berbakti.

Apabila Azmin mengambil alih jawatan menteri besar pada September 2014, masalah ini terpaksa diwarisi oleh beliau.

Terdapat kira-kira 30 kes di semua peringkat mahkamah membabitkan kerajaan negeri dengan potensi liabiliti bernilai ratusan juta ringgit.

Hampir 1,000 peneroka dan ahli keluarga mendapati masalah mereka masih berlarutan, yang berpunca daripada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri bawah BN sejak tahun 2000 dan juga salah perkiraan oleh Khalid.

Bagi menjawab tuduhan, biar saya jelaskan, satu formula global dipersembahkan kepada Azmin untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Formula ini mempunyai elemen berikut:

(1) Sebahagian daripada tanah, kira-kira 2,200 ekar dijual kepada pemaju berwibawa dengan jumlah RM1.18 bilion.

Sebahagian duit akan digunakan oleh syarikat vendor untuk membina rumah bagi hampir 1,000 peneroka dan membayar pampasan.

Dengan kata lain, kaedah ini memenuhi janji yang dimungkiri BN sejak 18 tahun lalu. Itulah perjanjian di zaman BN. Sepatutnya Umno/ BN berterima kasih bukannya mencela.

(2) Bank dan peminjam lain yang memberi pinjaman kepada kroni BN akan dibayar dan akan menarik semula semua saman dan tuntutan pampasan daripada kerajaan negeri.

(3) Akhir sekali, kerajaan negeri di bawah Pakatan akan memperoleh baki tanah itu seluas kira-kira 1,000 ekar tanpa membayar sebarang pampasan. Ia adalah situasi menang-menang untuk semua pihak.

Inilah perbezaan pentadbiran kerajaan negeri hari ini yang mendahulukan rakyat dalam penyelesaian masalah mereka.

Ulangi tuduhan palsu Umno

Dakwaan Faekah bahawa wujud keraguan dalam proses pengambilalihan adalah tidak lebih daripada sekadar mengulangi tuduhan palsu Umno sebelum ini.

‘Keprihatinan’ beliau kononnya ada ketirisan dana awam di negeri Selangor adalah lucu dan bersifat hipokrit.

Ingat lagi pihak yang melarikan wang melalui ‘pintu belakang’ berjumlah RM2.6 juta sebagai pampasan kepada diri sendiri dan konco-konconya? Ketirisan berlaku di situ.

Beliau sepatutnya bertanya kepada Khalid apakah caranya beliau dapat menyelesaikan hutang berjumlah jutaan ringgit dengan pihak bank yang masih lagi misteri kala ini.

 

Rencana ini adalah tulisan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang merupakan setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71357

Posted by on Feb 19 2018. Filed under NASIONAL, RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE