Buku Harapan janji inklusif dan progresif

Pakatan Harapan melancarkan “Buku Harapan” atau manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 8 Mac 2018 bertemakan Membina Negara, Memenuhi Harapan dalam satu majlis yang bersejarah sempena sepuluh tahun agenda perubahan pakatan pembangkang mengorak langkah menafikan dua pertiga Umno BN sejak 2008.

Ini mendahului manifesto oleh mana-mana parti politik termasuk daripada BN.

Buku Harapan merupakan janji yang berasaskan lima teras utama terdiri daripada Teras 1: Meringankan bebanan kehidupan rakyat, Teras 2: Mereformasi institusi pentadbiran dan politik, Teras 3: Merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, Teras 4: Mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 dan Teras 5: Membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Setiap satu daripada teras tersebut pula mempunyai langkah-langkah khusus.

Umpamanya bagi Teras 1, langkah-langkahnya ialah menghapuskan GST, menurunkan tekanan kenaikan harga barang, berkongsi kekayaan negara secara bersasar, menambah program perumahan mampu milik dan mampu sewa, meringankan beban hidup anak muda, menghapuskan kutipan tol, menyediakan subsidi minyak bersasar, memperbaiki kualiti dan liputan pengangkutan awam, mempertingkat akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan dan menjamin keperluan makanan asas rakyat serta menjaga kebajikan petani.

Terdapat keseluruhannya 60 langkah-langkah atau janji Harapan kepada rakyat Malaysia untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun.

Selain daripada itu, terdapat lima Iltizam Khas untuk warga FELDA, masyarakat kaum India, golongan wanita, anak muda dan warga emas.

Sebagai komitmen jelas oleh Harapan untuk rakyat dan negara, daripada 60 langkah-langkah dan lima Iltizam Khusus berkenaan, 10 janji akan dilaksanakan dalam masa 100 hari pertama membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pertama, menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup.

Kedua, menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

Ketiga, menghapuskan hutang-hutang yang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka FELDA.

Keempat, memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah.

Kelima, menyamaratakan gaji minimum dan memulakan proses kenaikan gaji minimum.

Keenam, menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Ketujuh, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.

Kelapan, menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

Kesembilan, memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40 dan kesepuluh? melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerah kepada negara asing.

Setiap sudut Buku Harapan tidak meletakkan falsafah pembangunan atau kebendaan semata-mata, sebaliknya menekankan aspek keadilan sosial dan ekonomi, inklusif dan progresif serta memacu agenda reformasi secara berterusan.

Ia berdasarkan maqasid syariah dan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan yang memandu program pembangunan, ekonomi, politik dan sosial.

Ini semestinya bukan mudah kerana negara kini tersasar jauh daripada wawasan awal negara.

Rakyat dibelenggu dengan kesempitan hidup, dipaksa dengan cukai, ditakut-takutkan dengan perkauman sempit, dicengkam pemusatan kuasa parti pemerintah, dihimpit hutang, disekat kebebasan bersuara, dinafi kemampuan menjana ekonomi oleh kerana rasuah, kronisme dan birokrasi serta dinafikan hak menikmati pendidikan berkualiti dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Manakala negara dibelenggu hutang, rasuah, skandal mega, salah guna kuasa, kesamaran pengasingan kuasa antara eksekutif, parlimen dan kehakiman, sekatan kebebasan media serta jurang ekonomi yang melebar.

Dengan erti kata lain, tatkala Umno BN mendabik dada mengatakan ekonomi negara baik dan segala dasarnya membawa kebaikan untuk rakyat namun dalam tempoh 60 tahun pemerintahan Umno BN khususnya rejim Datuk Seri Najib, segala potensi negara dan rakyat tidak benar-benar dapat dijana untuk kembali dinikmati oleh warganya.

Kepentingan peribadi memastikan kuasa, wang dan kemewahan berlegar di kalangan kroni telah merosakkan negara dan membawa pelbagai jenis kepincangan.

Justeru, usaha membina semula negara dan memenuhi harapan digagaskan oleh Harapan.

Ia mesti dilihat secara menyeluruh dan bukan secara juzuk untuk memastikan rakyat boleh kembali menikmati hidup yang selesa. Ia berasaskan tindakan pemulihan segera, jangkamasa pertengahan dan jangkamasa panjang.

Umpamanya pemansuhan GST perlu dilakukan segera kerana cukai GST dikenakan kepada seluruh rakyat dan kesan kenaikan harga barang dan kos sara hidup amat dirasai khususnya oleh golongan B40.

Kesan kekurangan hasil kerajaan akibat daripada langkah ini telah difikirkan dengan mendalam.

Ia bukan sahaja boleh ditampung dengan mengembalikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tetapi dengan potensi penjimatan daripada pembaziran dan penurunan kadar faedah hutang akibat reputasi kewangan negara dipulihkan.

Pengembalian dana negara akibat pengubahan haram wang dalam skandal 1MDB pada kadarnya juga boleh menampung kekurangan hasil. Asasnya, rakyat tidak boleh dibebankan hanya kerana kerajaan ingin berbelanja lebih.

Pada masa yang sama, jumlah kutipan cukai pendapatan telah meningkat secara purata sebanyak lebih 11 peratus setiap tahun. Sejak 2014, jumlah sumbangan cukai pendapatan kepada hasil kerajaan ialah pada paras 45 peratus ke atas. Justeru ia kekal sebagai sumber hasil kerajaan.

Pokok pangkalnya, punca kekurangan hasil dan pengenalan GST ialah kerana budaya pengurusan perbendaharaan Umno BN yang terus berbelanja melebihi pendapatan sejak sedekad yang lalu sehingga wujud hutang yang besar.

Lantas, sudah tentu GST mahu diteruskan malah mungkin dinaikkan kadarnya pada masa akan datang.

Sebab itu, saya tidak hairan apabila parti pemerintah dan yang sewaktu dengannya mengatakan manifesto Harapan sebagai retorik, populis dan tidak realistik.

Saya percaya mereka tidak nampak dasar ekonomi atau fiskal negara yang boleh membantu prestasi ekonomi negara berpaksikan keadilan rakyat.

Sebab itu kebanyakan dasar yang dikemukakan bersifat regresif atau menekan seperti cukai GST dan penarikan pelbagai jenis subsidi termasuk penghapusan subsidi minyak dalam keadaan di mana gaji pendapatan rakyat tidak meningkat.

Sebab itu juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak tidak boleh bayangkan bagaimana Harapan boleh menampung kekurangan hasil daripada GST, tol, PTPTN dan duti eksais.

Mereka terlindung di bawah bayang Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah, 1MDB, Jho Low, Riza Aziz dan semua kroni Umno BN yang menangguk di air keruh, yang mencuri hasil daripada titik peluh rakyat.

Budaya penentuan dasar Umno BN bersifat menjaga tembolok kuasa dan kepentingan kelompok sendiri sedangkan rakyat cuma mendapat lebihan daripada itu.

Itu pun sebenarnya datang dari wang rakyat juga dan kadang-kala tiba pada musim dekat pilihan raya dengan syarat teriring. Rakyat seperti peneroka Felda menjadi mangsa.

Justeru, saya curiga jika Umno BN bimbang akan kehilangan sumber pendapatan negara atau sebenarnya kehilangan sumber pendapatan mereka sendiri.

Menurut Buku Harapan, segala ketirisan, pembaziran dan dasar yang merugikan rakyat tetapi menguntungkan pihak tertentu akan dikambus atau disemak semula.

Untuk memberi keadilan kepada Buku Harapan dan memastikan rakyat jelas, saya syorkan pembaca meneliti kandungannya satu persatu manakala pimpinan Harapan wajar bertindak melakukan penerangan meluas.

Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan Parti KEADILAN Rakyat

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71456

Posted by on Mar 13 2018. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE