Buku Kartun ‘Negaraku’ sarat kritikan terhadap pemerintah

KUALA LUMPUR 21 Disember: Industri kartun dan komik tanahair yang membawakan genre satira politik, bertambah meriah apabila muncul sebuah lagi buku kartun bertajuk ‘Negaraku’ karya kartunis Ronasina.

Bertema ‘koleksi kartun satira rakyat’, buku hasil karya bekas editor majalah Gedung Kartun terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd (telah diharamkan) ini mampu mencuit hati dengan lukisan dan tulisan yang sinis, pedas dan berani.

Isu yang digarap adalah isu nasional seperti kemiskinan, rasuah, penyelewengan kuasa, tangkapan tanpa bicara, pembunuhan kejam terhadap mangsa tahanan serta karenah lucu ahli politik tanahair, khususnya dari parti pemerintah.

“Sebagai kartunis, saya menyampaikan keluh-kesah suara rakyat terhadap kebejatan sosial serta kezaliman pemerintah melalui lakaran kartun. Seniman dan karyawan punya peranan masing-masing untuk menyedarkan rakyat terhadap apa yang berlaku sekarang.

“Buku Negaraku ini adalah antara koleksi kartun dan tulisan humor saya untuk memberi peluang rakyat menilai, seterusnya berfikir dengan waras akan kebenarannya,” ujar Ronasina yang juga pernah melukis dan menulis di akhbar portal online, Merdekareview.com.

Kulit muka hadapan dan belakang buku ini dihiasi lukisan kartun perhimpunan rakyat di Dataran Merdeka yang dihadiri ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Setebal 96 muka surat, buku ini juga memuatkan cerpen sempena himpunan Bersih 2.0 bertajuk ‘Hikayat Penyakit Kuning’ dan ‘Kak Ijat Kampung Lembah’.

Ia menceritakan seorang wanita berasa sedih apabila penduduk kampung sering mentertawakan dirinya yang mempunyai hobi pelik bermain dengan lembu-lembu ternakannya.

Selit drama dalam buku

“Sedikit perbezaan berbanding buku kartun politik pengkarya lain, saya juga melukis drama empat muka surat bertajuk ‘Suatu Hari di Lebuhraya’. Ia mengisahkan tiga lelaki upahan sedang menunggu bas Jelajah Merdeka Rakyat untuk dibalingkan batu, cat merah dan kayu.

“Walaupun ia cerita rekaan tetapi isu yang diselitkan amat kita ketahui dan tidak dapat disangkal kebenarannya. Selain itu, drama lima muka surat Bomoh Puaka juga adalah kisah sinis tentang pemimpin yang gemar berurusan dengan bomoh demi mengekalkan kuasa,” ujar beliau.

Kartunis Ronasina, 39 tahun yang juga aktif dengan persembahan pentas seperti membaca sajak dan mengacara majlis turut mencuit pembaca dengan lakaran yang diambil dari babak filem-filem P.Ramlee.

Ia diubah mengikut senario politik semasa seperti adegan dalam filem Ali Baba Bujang Lapok di mana ketua penyamun berbasikal menuju gua yang penuh harta karun diikuti penyamun-penyamun yang lain.

Wajah ketua penyamun dan penyamun-penyamun itu diubah kepada wajah karikatur pemimpin negara sedang mengendong harta rompakan. Selain itu ada juga lakaran trio Seniman Bujang Lapok berbasikal sambil menyanyi dengan wajah yang diubah kepada ahli politik tanahair, babak di dalam filem Pendekar Bujang Lapok dan lain-lain lagi.

Ada juga lukisan aktres Marilyn Monroe, potret Monalisa, patung Statue Of Liberty dan lain-lain yang berimejkan suasana politik Malaysia.

Pendek kata, buku koleksi kartun Negaraku ini mempunyai keistimewaannya tersendiri yang sesuai dimiliki rakyat Malaysia yang cintakan ilmu dan berfikiran positif.

Pelancaran buku Negaraku ini akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) pada hari Sabtu, 22 Disember jam 9.00 malam oleh aktivis rakyat Hishamuddin Rais.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=41531

Posted by on Dec 21 2012. Filed under AKTIVITI & CERAMAH, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google