Campur tangan Najib dalam kes Felda hina mahkamah

KUALA LUMPUR 22 Mac: Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran berkata, kandungan minit mesyuarat antara Najib dan Felda menunjukkan wujud campur tangan serius dalam proses kehakiman dan boleh dianggap satu jenayah menghina mahkamah.

Menurutnya, kandungan minit mesyuarat itu jelas memperlihatkan kerajaan cuba mempengaruhi hakim dalam kes saman peneroka ke atas Felda.

“Ia perkara yang mengejutkan dan cukup merisaukan. Malah, sehingga hari ini Najib dan pihak kerajaan tidak memberi apa-apa penjelasan berkenaan dakwaan serius yang turut disokong bukti ini.

“Mahkamah harus mengeluarkan notis arahan kepada Najib untuk hadir memberi penjelasan mengapa beliau tidak patut didakwa menghina mahkamah,” kata Surendran yang juga merupakan seorang peguam.

19 Mac lalu, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan dokumen rasmi mesyuarat antara Najib dan pengurusan tertinggi Felda.

Butiran minit 7.9 dokumen tersebut menyatakan Najib mengarahkan pegawainya agar memastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER.

Beliau juga dipetik sebagai mengarahkan agar pegawainya memastikan Felda menang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya.

Dalam kenyataan sama, Surendran turut mengulas tindakan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang hanya akan memberi penjelasan di Parlimen 26 Mac nanti berhubung pendedahan tentang campur tangan Najib itu.

“Ini adalah isu serius yang membabitkan kepentingan awam dan melibatkan integriti dan kebebasan badan kehakiman. Mengapa mereka harus menangguh jawapan mereka sehingga 26 Mac?” soal beliau lagi.

Beliau turut menggesa pihak polis dan SPRM untuk menyiasat sama ada wujud unsur salah guna kuasa.

“Kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan berkenaan isu ini hanya akan terus menghakis keyakinan masyarakat terhadap mereka,” ujar Surendran lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=28483

Posted by on Mar 22 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE