Campur tangan politik boleh rosakkan institusi k’jaan – Abas

(Oleh Aedi Asri)

KUALA LUMPUR 4 Dis: Campur tangan politik dalam urusan pentadbiran kerajaan boleh merosakkan institusi tersebut, kata Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN, Abas Awang.

Beliau mengulas pemecatan seorang kakitangan sementara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Labuan.

Ini ekoran Qatrun Nada Mohd Latfi yang bertugas sebagai guru sementara menerima notis pemecatan pada 24 Oktober yang berkuatkuasa 1 Disember lalu tanpa menyatakan secara terperinci sebab pemecatan tersebut.

Qatrun Nada diugut supaya menyertai Umno. Beliau menerima borang keahlian yang dikirim pemangku Ketua Umno Labuan, Senator Datuk Yunus Kurus 11 Oktober lalu.

Yunus sebelum itu menelefon Qatrun dan memberi amaran bahawa sebagai kakitangan kerajaan, beliau hanya boleh aktif dalam Umno.

Perkara itu didedahkan Qatrun Nada semalam ketika menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung pemecatannya itu.

“Campur tangan politik dalam institusi kerajaan tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan rosakkan institusi tersebut. Ini tidak adil kepada rakyat.

“Lebih-lebih lagi dalam institusi pendidikan. Kalau guru-guru dibuli dengan hal seperti ini, bagaimana mereka dapat mendidik anak-anak kita dengan sebaiknya,” kata Abas ketika dihubungi.

“Sebagai kakitangan kerajaan, mereka perlu laksanakan dasar (kerajaan), bukannya dasar parti pemerintah. Tetapi orang Umno BN tidak faham perbezaan ini,” tambahnya.

Qatrun Nada sebelum ini mengajar di Sekolah Agama Islam Rancha-Rancha, Labuan dipecat kerana menghadiri ceramah Pakatan Rakyat 15 September lalu.

Menurut Abas, campur tangan politik sebegini bukan perkara baru, tapi berlaku sejak dari dahulu ketika beliau berkhidmat dalam bidang pendidikan.

“Di Kelantan sekitar 90-an, sesiapa yang ingin dilantik menjadi guru besar kena isi borang Umno. Ini bukan benda baru, sudah tradisi Umno BN,” kata Abas.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=40653

Posted by on Dec 4 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google