Cubaan bunuh diri akan dihapuskan daripada Kanun Keseksaan

Jabatan Peguam Negara akan mengkaji cadangan untuk mengeluarkan jenayah cubaan bunuh diri daripada Kanun Keseksaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Cadangan itu adalah antara lima perkara diputuskan dalam mesyuarat semalam yang membincangkan isu-isu kesihatan mental melibatkan beberapa kementerian.

“Kesejahteraan mental amat penting kerana ia membabitkan semua golongan masyarakat, kanak-kanak, remaja, orang muda, dewasa dan warga emas, sama ada wanita mahupun lelaki.

“Masyarakat perlu lebih prihatin terhadap isu kesejahteraan mental. Saya menggesa mereka yang mengalami gangguan emosi atau perasaan supaya tampil mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat.

Pada masa ini, cubaan bunuh diri tertakluk di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga satu tahun, termasuk denda terhadap individu yang cuba membunuh diri.

Sementara itu, pada mesyuarat sama Dr Wan Azizah turut memutuskan untuk mengisytiharkan Oktober sebagai bulan kesedaran kesihatan mental dan melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional: ‘Let’s Talk Malaysia’ dalam usaha menghapuskan pandangan buruk terhadap masalah mental.

Dr Wan Azizah berkata tiga lagi perkara diputuskan iaitu mempertimbang cadangan supaya Talian Kasih 15999 dan talian Befrienders tidak lagi dikenakan caj telefon serta sistem nilai holistik perlu diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan khususnya sistem pendidikan.

Beliau berkata kerajaan juga akan melancarkan kempen ‘Deklarasi Keluarga’ sempena Hari Kebangsaan Malaysia, yang bertujuan menerapkan nilai-nilai kekeluargaan.

Mesyuarat terbabit membabitkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Menteri Agama serta Polis Diraja Malaysia.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73599

Posted by on Jun 14 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE