Datuk Seri Anwar Ibrahim akan Menjalani Pembedahan Bahu

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur esok, 8 November, untuk menjalani pembedahan pada 12 November ini untuk merawat kecederaan di bahu kanan yang semakin teruk akibat kemalangan baru-baru ini melibatkan kenderaan Jabatan Penjara.

Bapa kami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai sejarah bahu yang sakit akibat kecederaan yang dialami akibat kemalangan kereta beberapa tahun lalu. Beliau telah menguruskan kecederaan ini melalui fisioterapi dan ubatan.

Sejak pemenjaraan politik beliau, kecederaan ini telah bertambah teruk. Pada September 2015, beliau mula mengadu tentang kecederaan ini yang mengakibatkan kesakitan sepanjang masa. Doktor-doktor pakar pada ketika itu mencadangkan beliau menjalani pembedahan untuk mengurangkan kesakitan ini.

Beberapa pilihan telah dicadangkan, daripada rawatan konservatif dengan penggunaan ubat steroid, fisioterapi dan pengurusan kesakitan, ke pembedahan ‘arthroscopic’ untuk pembaikpulihan ‘rotator cuff’ di bahu, ke pembedahan yang lebih invasif dan berisiko lebih tinggi iaitu pembedahan penggantian bahu.

Georgetown University di Amerika Syarikat pada waktu itu telah menawarkan institusi tersebut untuk menjalankan pembedahan itu di Amerika Syarikat, dan kami menerima cadangan tersebut kerana gusar akan tahap kesihatan Datuk Seri Anwar. Langkah tersebut akan membolehkan beliau menjalani pembedahan serta pemulihan secukupnya tanpa sebarang gangguan politik. Ini pernah dilakukan untuk tahanan politik seperti mantan Presiden Maldives, Mohammed Nasheed, yang dibenarkan meninggalkan Maldives tahun ini untuk rawatan bahagian belakang beliau. Malangnya, kerajaan Malaysia enggan memberi kebenaran kepada Datuk Seri Anwar untuk meninggalkan negara bagi pembedahan di sana dan bertegas bahawa pembedahan tersebut perlu dilakukan di sini.

Oleh sebab keadaan penjara yang tidak bersesuaian dan kemungkinan campur tangan dalam pemulihan beliau, Datuk Seri Anwar telah memilih untuk tidak menjalani pembedahan pada ketika itu dan memilih rawatan konservatif yang melibatkan fisioterapi dan pengurusan kesakitan.

Akan tetapi, pada 22 September 2017, Datuk Seri Anwar telah terlibat di dalam kemalangan di mana kenderaan yang membawa beliau telah dilanggar dari belakang oleh kenderaan pengiring. Kenderaan pengiring tersebut telah gagal untuk berhenti yang mengakibatkan kenderaan pengiring tersebut melanggar kenderaan yang membawa beliau yang telah berhenti untuk mengelak perlanggaran dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Pada waktu itu, beliau sedang dibawa semula ke Penjara Sungai Buloh setelah berada empat malam di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan tekanan darah yang tidak stabil serta kesakitan berkait kecederaan di bahu beliau.

Impak kemalangan tersebut jelas mengakibatkan kecederaan di bahu beliau – yang memerlukan fisioterapi berterusan – menjadi lebih teruk. Beliau diberi ubat penahan sakit yang kuat untuk menahan rasa sakit.

Sejak kemalangan itu, kesakitan yang dialami Datuk Seri Anwar telah menjadi lebih teruk. Sebarang pergerakan bahu kanan atau aktiviti menulis yang lama akan mendatangkan kesakitan.

Datuk Seri Anwar kini tiada pilihan selain menjalani pembedahan yang kini tidak dapat dielak kerana kesakitan yang berlarutan.

Kami, ahli-ahli keluarga beliau, amat risau dengan tahap kesihatan dan keselamatan bapa kami kerana pembedahan ini mempunyai risiko oleh sebab keadaan beliau pada masa kini. Pada 31 Oktober, ahli-ahli keluarga dan Datuk Seri Anwar telah bertemu dan berunding bersama doktor-doktor di HKL berkenaan isu ini. Datuk Seri Anwar kini telah bersetuju untuk menjalani pembedahan.

Beliau akan menjalani pembedahan ‘arthroscopic’ untuk melegakan kesakitan.

Esok, Rabu 8 November 2017, Datuk Seri Anwar akan dimasukkan ke HKL untuk penilaian prapembedahan, dan akan menjalani pembedahan pada 12 November 2017.

Pembedahan ini amatlah rumit dan penjagaan selepas pembedahan yang betul amat diperlukan, dan kami mempunyai kepercayaan penuh terhadap para doktor HKL untuk menjalankan pembedahan ini dengan penuh profesionalisme.

Kami menggesa agar:

1. Kerajaan memberi jaminan bahawa semua rawatan perubatan yang diperlukan Datuk Seri Anwar akan diberi tanpa sebarang campur tangan;

2. Datuk Seri Anwar diberi akses sepenuhnya kepada kemudahan-kemudahan pemulihan di hospital memandangkan akses kepada kemudahan-kemudahan tersebut cukup terhad untuk penjagaan selepas pembedahan di Penjara Sungai Buloh; dan

3. Membenarkan badan-badan hak asasi manusia bertemu beliau untuk memantau keadaan sepanjang pembedahan dan pemulihan selepas pembedahan.

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim
7 November 2017

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70752

Posted by on Nov 7 2017. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE