DBKL tak perlu tunggu bantahan pesta arak

Adakah saban tahun tatkala tibanya September kita akan bertembung dengan isu pesta arak? Ia bagi membantah pesta arak yang dibuat pada bulan berikutnya iaitu Oktober. Memang Oktober merupakan bulan pesta untuk masyarakat khususnya di Eropah. Ia merupakan penghujung musim bunga sebelum bermulanya musim luruh. Pesta-pestaan ini secara tradisinya melibatkan minuman yang memabukkan seperti bir dan lain-lain lagi.

Setiap agama yang wujud di muka bumi ini mahukan kesejahteraan kepada manusia. Kesejahteraan hanya mampu diperolehi dengan kewarasan akal. Apa sahaja perkara yang boleh menghilangkan fungsi akal akan ditegah untuk diambil oleh manusia. Hilangnya fungsi akal menyebabkan hilangnya pertimbangan yang membawa kemudaratan kepada individu yang terbabit dan manusia di sekelilingnya.

Sebagai contohnya agama Hindu yang mengecam perbuatan meminum arak secara berlebihan. Tegahan ini juga dapat ditemui dalam agama lain seperti Buddha dan Kristian. Agama Islam mengharamkan secara total dan mengkategorikan arak sebagai sejenis najis.

Oleh yang demikian apabila ada pihak yang mempersoalkan sesetengah agensi sebagai cuba menjadi jaguh agama, maka timbullah persoalan jaguh agama yang mana? Jaguh agama Islam, atau jaguh agama Hindu, atau jaguh agama Buddha atau jaguh agama Kristian?

Jika jaguh semua agama, maka yang mempersoalkan itu pula jaguh apa?
Persoalan yang berikutnya adalah, kenapa pada peringkat awal pesta sebegini mendapat kebenaran? Ia bukan kali pertama tetapi sudah kali keenam. Adakah ia sengaja dibiarkan sedemikian sehingga wujud perbalahan yang juga ‘menghilangkan’ kerasionalan warga maya? Atau dengan kata lain ‘mabuk’ tanpa arak. Keluarlah kata-kata kesat sehingga menyerang peribadi dan menghina agama secara keterlaluan.

Jika kita lihat penganjuran pesta bir terbesar di dunia iaitu Octoberfest di Munich, yang menghidangkan lebih 6 juta liter bir kepada para pengunjung jelas melibatkan pasukan keselamatan secara langsung. Pada tahun ini pelbagai aspek keselamatan diperketatkan. Para pengunjung akan diperiksa bermula dari stesen-stesen keretapi lagi sebelum memasuki kawasan pesta. Para pengunjung juga hanya dibenarkan membawa beg yang tidak melebihi 3 liter, bagi mengelakkan senjata berbahaya diseludup masuk, yang boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan sekiranya berlaku pergaduhan. Pihak keselamatan boleh merampas apa-apa sahaja peralatan yang berpotensi digunakan sebagai senjata,

Pada 2015, ketika Octoberfest, pihak keselamatan khususnya polis telah dipanggil sebanyak 2017 kali bagi menyelesaikan 1191 jenayah. Pada 2013 seorang pengunjung hampir mati apabila diserang menggunakan gelas bir yang berat dalam satu pergaduhan. Mujurlah polis yang berada berdekatan mengambil tindakan pantas untuk menyelamatkan nyawa pengunjung tersebut. Pada tahun tersebut juga sebanyak 16 serangan seksual dilaporkan.

Selain isu keselamatan, isu kesihatan juga turut menjadi perhatian. Menurut laporan Palang Merah yang ditugaskan menjaga kesihatan, fenomena Bierleichen atau ‘mayat bir’ (beer corpses) iaitu tidak sedarkan diri/ pengsan akibat meminum alkohol secara berlebihan melibatkan 638 orang pada tahun 2013.

Octoberfest 2016 pula mencatatkan pengunjung paling rendah dalam tempoh 15 tahun apabila hanya dikunjungi 5.5 juta pengunjung dalam tempoh 2 minggu. Di sebalik pengunjung yang rendah, jumlah jenayah seksual meningkat 50 peratusseperti yang dilaporkan oleh Mail Online.

Pihak penganjur menyalahkan ancaman pengganas yang menjurus kepada kawalan ketat pihak keselamatan. Pihak keselamatan Jerman pula terus bertegas mengekalkan tahap kawalan keselamatan untuk Octoberfest tahun ini bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Walaupun jumlah pengunjung untuk Kuala Lumpur Better Beer Festival 2017 tidak mencecah jutaan orang, namun aspek keselamatan tidak boleh dikompromi. Pihak keselamatan seperti polis, penguatkuasa DBKL perlu dikerah jika festival seperti ini mahu dilaksanakan. Sekali lagi persoalan hukum terbabit iaitu pihak kerajaan ‘bersubahat’ dalam memastikan kejayaan penganjuran pesta arak. Maka perdebatan akan belangsung dengan lebih hebat lagi.

Melihat kepada isu keselamatan yang sebegini jelas, pihak DBKL tidak perlu teragak-agak atau berdolak dalik dari awal untuk melarang penganjuran pesta seperti ini. DBKL tidak perlu menunggu bantahan dari mana-mana pihak bagi menjamin kesejahteraan warga kota Kuala Lumpur. Hujah yang mengatakan kehilangan hasil pelancongan dapat ditolak kerana kita perlu berbelanja lebih untuk elaun kerja lebih masa pihak keselamatan dan kesihatan bagi menjaga ‘kesejahteraan’ pengunjung pesta sebegini, tidak termasuk kemudahan awam yang dirosakkan akibat kemalangan dan lain-lain lagi.

Agensi kerajaan perlu mengikis sikap pahat dengan penukul tambahan pula ini bukan kali yang pertama, untuk bertindak lebih tegas bagi menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

AMIDI ABDUL MANAN
Timbalan Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa)
Parti Keadilan Rakyat

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70557

Posted by on Sep 25 2017. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE